66 terkorban dalam siri serangan Israel berdekatan Kem Nuseirat

Orang ramai mengangkat mangsa yang cedera akibat serangan udara berdekatan Kem Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza. Foto REUTERS

Satu serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin dan mencederakan 50 orang yang berlindung di pejabat pos di tengah Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah korban di wilayah itu, kini 66 orang.

Dalam konflik yang sudah berlangsung selama 14 bulan tanpa tanda akan reda, serangan itu mengenai sebuah fasiliti pos di kem Nuseirat, tempat keluarga yang kehilangan tempat tinggal berlindung.

Beberapa rumah berhampiran juga rosak akibat serangan itu, menurut pasukan perubatan.

Sehingga kini tentera Israel masih tidak memberi maklum balas ketika ditanya mengenai serangan itu.

Nuseirat adalah salah satu daripada lapan kem pelarian bersejarah di Gaza, yang asalnya menempatkan pelarian Palestin dari perang 1948 semasa penubuhan Israel.

Kini, kawasan itu menjadi sebahagian daripada kawasan bandar yang padat dengan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dari seluruh Gaza.

Terdahulu, dua serangan udara Israel di selatan Gaza mengorbankan 13 rakyat Palestin, yang menurut pasukan perubatan Gaza dan Hamas adalah sebahagian daripada pasukan yang melindungi konvoi bantuan kemanusiaan.

Tentera Israel mendakwa mereka adalah pejuang Hamas yang cuba merampas penghantaran itu.

Kebanyakan daripada yang terkorban dalam serangan di Rafah dan Khan Younis sering kali dikaitkan dengan Hamas, menurut sumber yang dekat dengan kumpulan itu.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, serangan udara itu bertujuan memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan selamat dan menuduh anggota Hamas merancang untuk menghalang bantuan sampai kepada rakyat Gaza yang memerlukan.

Kenyataan itu menyebut bahawa anggota Hamas berniat untuk merampas bantuan itu “bagi menyokong aktiviti pengganas yang berterusan.”

Geng bersenjata berulang kali merampas trak bantuan, dan Hamas sudah membentuk pasukan khas untuk mengatasinya. Pasukan yang diketuai Hamas membunuh lebih 20 anggota geng itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menurut sumber Hamas dan pasukan perubatan.

Hamas berkata serangan tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 700 anggota polis yang bertugas melindungi trak bantuan di Gaza sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023. Mereka menuduh Israel cuba melindungi perompakan dan “mencetuskan kekacauan untuk menghalang bantuan sampai kepada rakyat Gaza.” – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Palestin sambut baik Ireland sertai kes genosid terhadap Israel di ICJ

Next Post

Sekolah di Damsyik dibuka semula

Related Posts