Israel telah melancarkan serangan ke kawasan berhampiran Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Gaza, menyebabkan beberapa mangsa cedera, termasuk seorang wartawan Palestin yang dibakar hidup-hidup selepas Tel Aviv menyasarkan khemah wartawan berhampiran hospital tersebut.
Dalam rakaman menyayat hati yang tersebar di internet pada Ahad, wartawan berkenaan kelihatan diselubungi api sementara penduduk Palestin dan pasukan penyelamat berusaha sedaya upaya untuk memadamkannya.
Laporan menyebut wartawan itu ialah Ahmed Mansour, seorang bapa dan juga wartawan bagi saluran Palestine Today.
“(Peluru berpandu Israel) membakar rakan sekerja Ahmed Mansour dan beliau kini masih dirawat di unit rawatan rapi akibat melecur teruk susulan serangan ke atas khemah yang didudukinya di kem wartawan di Hospital Nasser,” kata Wael Abo Omar, seorang wartawan Palestin di Gaza yang dikepung, menerusi platform X.
Mahmoud Bassam, seorang jurufoto berpangkalan di Gaza, berkata Mansour “memerlukan satu keajaiban” untuk pulih daripada kecederaan melecur yang parah itu.
Dua lagi wartawan dilaporkan terbunuh dalam serangan tersebut, manakala beberapa yang lain turut cedera. – TRT Global