Al-Mawasi ‘neraka’ ciptaan penjajah Zionis di Semenanjung Gaza

Al-Mawasi yang terletak berhampiran sempadan dengan Mesir kini menjadi ‘bandar khemah’ untuk golongan yang dipaksa berpindah oleh IDF.

Suatu ketika dahulu, ia adalah sebuah perkampungan nelayan di tepi pantai Mediterranean.

Keadaan berubah sejak lebih tujuh bulan lalu apabila al-Mawasi yang diisytiharkan sebagai ‘zon kemanusiaan’ oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) semakin sesak dan turut dilanda wabak penyakit.

Kempen pengeboman yang semakin sengit di Genting Gaza termasuk serangan semula ke atas utara wilayah berkenaan menyebabkan gelombang perpindahan berskala besar menuju ke al-Mawasi sejak minggu lalu.

Kumpulan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal berharap kawasan terbuka itu terhindar daripada hujan bom, namun mereka sebenarnya memperjudikan nyawa masing-masing apabila terpaksa berpindah ke zon tersebut.

Dalam sekelip mata, al-Mawasi berubah menjadi ‘bandar khemah’ di tepi pantai yang dekat dengan sempadan Mesir.

Jumlah populasi di kawasan itu bertambah secara mendadak setelah unit infantri bersama kereta kebal IDF mara ke timur Rafah pada awal bulan lalu.

Lebih 400,000 penduduk Gaza kini berlindung di al-Mawasi tanpa mengetahui muslihat sebenar rejim Zionis menempatkan mereka di situ.

Imej satelit dengan resolusi tinggi dikeluarkan Planet Labs menunjukkan ‘zon kemanusiaan’ yang ditubuhkan Israel di al-Mawasi sebelum dan selepas Perang Gaza tercetus.

Imej satelit terbaharu menunjukkan perbandingan ‘bandar khemah’ itu pada Februari lalu dan bulan ini yang kini dibanjiri penduduk Gaza tanpa arah tuju.

Sebahagian besar mereka sudah berpindah-randah lebih lima kali sejak lebih tujuh bulan lalu dan tiada pilihan lain kecuali mengikuti arahan Israel serta menuju ke al-Mawasi.

‘ZON KEMANUSIAAN’ DIPERLUAS

Al-Mawasi dikatakan telah menjadi simbol konflik Palestin-Israel sejak sekian lama.

Perkampungan nelayan itu turut mempunyai kawasan pertanian yang subur dan berhampiran penempatan haram Yahudi, Gush Katif selepas pendudukan Israel pada 1967.

Lokasi tersebut kemudiannya didiami pendatang Yahudi yang dipindahkan dari Semenanjung Sinai setelah perjanjian damai dimeterai bersama Kaherah pada 1979 yang membawa kepada pengunduran tentera rejim Zionis dari wilayah Mesir.

Ia kemudiannya menjadi kawasan tinggal selepas IDF bersama komuniti pendatang Yahudi berundur dari Gaza pada 2005.

Pada masa itu, hanya segelintir penduduk Palestin yang menetap sementara di sana.

Sejak fasa awal perang genosid di Genting Gaza, IDF berulang kali melabel al-Mawasi sebagai ‘pulau kemanusiaan’ setelah ofensif ganas tersebut menyebabkan sebahagian besar daripada kira-kira 2.3 juta populasi di wilayah terkepung itu hilang tempat tinggal.

Sebelum ini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pernah memberi amaran kawasan tepi pantai yang sempit itu tidak dapat menampung populasi dalam jumlah yang besar seperti sedang berlaku sekarang.

Sejak 6 Mei lalu, sempadan al-Mawasi seperti yang dipaparkan peta pemindahan paksa Israel telah diperluaskan ke utara dan turut meliputi Khan Yunis yang pernah menjadi bandar kedua terbesar di Gaza.

Peta memaparkan kawasan sesak di al-Mawasi yang kini menempatkan lebih 400,000 penduduk Gaza hilang tempat tinggal.

Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menganggarkan seramai 450,000 orang sudah meninggalkan Rafah sejak kemaraan IDF.

Sejak beberapa hari lalu, agensi bantuan sedang giat membuat persiapan untuk menampung keperluan kira-kira sejuta penduduk Gaza setelah rejim Zionis mengeluarkan arahan pemindahan baharu.

NAKBA BERULANG

Jurucakap IDF, Laksamana Muda Daniel Hagari pernah memberitahu kononnya go-longan tersebut akan menerima bantuan kemanusiaan termasuk makanan, ubat-ubatan dan bekalan penting lain.

Namun, pekerja bantuan dan penduduk Palestin berserta bukti imej satelit serta video memberi gambaran sebenar yang ternyata berbeza daripada apa yang diuar-uarkan di media.

Golongan berkenaan terpaksa berdepan episod kesengsaraan baharu termasuk penularan wabak penyakit yang diburukkan lagi oleh gelombang haba ekstrem akhir bulan lalu.

“Adakah al-Mawasi dan kemudahan serba daif di sini dapat menerima kebanjiran lebih ramai penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal?Jawapan jujur semestinya tidak.

“Keadaan di al-Mawasi sudah menjadi bencana,” ujar ketua pasukan Doktor Tanpa Sempadan (MSF), Aurelie Godard.

Bagi Umm Khatib, 84, situasi sekarang seakan-akan mengimbau semula detik hitam selepas pendudukan Israel pada 1948 yang membawa kepada pengusiran ratusan ribu penduduk Palestin atau digelar sebagai Hari Nakba (malapetaka).

Generasi kini mengalami nasib serupa apabila mereka juga diusir dan terpaksa tinggal di khemah sementara serta berdepan masalah penyakit dan malnutrisi secara meluas.

Sementara itu, jurucakap badan amal, Save the Children, Sacha Myers berkata, pasukan perubatan yang berada di al-Mawasi mendakwa tidak pernah melihat bilangan kes hepatitis A yang luar biasa sepanjang karier mereka setelah sebahagian besar penduduk Palestin ditempatkan di sana didiagnos penyakit tersebut.

“Saya dan rakan seangkatan yang mempunyai pengalaman selama bertahun-tahun tidak pernah menyaksikan keadaan seperti ini. Tiada tempat selamat untuk kanak-kanak. Zon kemanusiaan itu sebenarnya tidak selamat untuk sesiapa pun,” jelasnya. – Sinar Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

UNRWA: ‘Zon kemanusiaan’ suatu pembohongan, tiada tempat selamat di Gaza

Next Post

Helikopter terhempas: Presiden Iran, semua penumpang maut

Related Posts