Ketua Hamas di Luar Negara, Khaled Meshaal menyeru umat Islam dan masyarakat antarabangsa memperbaharui komitmen mereka dalam mempertahankan Baitulmaqdis serta menamatkan tindakan genosid terhadap rakyat Palestin ketika berucap pada Persidangan al-‘Ahd lil-Quds: Ke arah Pembaharuan Tekad Umat dalam Menghadapi Penghapusan dan Genosid yang berlangsung di Istanbul.
Meshaal berkata penindasan Israel yang berterusan bertujuan menundukkan rantau ini kepada agenda Zionis, yang disifatkannya sebagai ancaman nyata terhadap keamanan dan kestabilan serantau.
Beliau menegaskan sudah tiba masanya umat Islam memutuskan langkah tegas untuk membebaskan Baitulmaqdis serta memelihara kesucian tapak suci agama Islam dan Kristian.
Mengulas mengenai situasi di Gaza, Meshaal menegaskan bahawa meskipun serangan paling dahsyat telah terhenti, penduduk Palestin masih berhadapan kebuluran, kepungan, penutupan lintasan, penghalangan bantuan kemanusiaan dan bentuk-bentuk hukuman lain yang dikenakan oleh Israel.
Beliau turut menolak sebarang bentuk kawalan atau pengurusan luar ke atas Gaza, sambil menekankan bahawa rakyat Palestin sendiri harus diberikan hak untuk mentadbir wilayah mereka.
Dalam ucapannya, Meshaal menggesa perlindungan berterusan terhadap agenda muqawamah serta mempertahankan senjata pejuang Palestin, selain menekankan keperluan mendesak untuk menyelamatkan Tebing Barat daripada projek penempatan haram, penjajahan dan pengusiran.
Meshaal turut menegaskan bahawa Israel tidak boleh dianggap sebagai rakan atau sebahagian daripada rangkaian keselamatan serantau, dan menyeru supaya rejim serta para pemimpinnya dibawa ke muka pengadilan antarabangsa atas dakwaan melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Beliau berkata komuniti antarabangsa perlu memperlakukan Israel sebagai entiti yang bertanggungjawab terhadap jenayah terhadap rakyat Palestin di Gaza serta Palestin keseluruhannya, dan juga rantau ini.
Meshaal juga menuntut usaha bersepadu bagi membebaskan semua tahanan Palestin di penjara Israel serta menekankan bahawa tiada kemenangan dapat dicapai tanpa perpaduan nasional, sambil menyeru semua pihak Palestin mengelakkan sikap memonopoli keputusan dan bersama-sama membina kesatuan yang kukuh di dalam dan luar negara. – Dunia Palestin