Kenderaan kecemasan di Gaza terpaksa henti operasi akibat kekurangan bahan api

Sejak pertengahan November, kru kecemasan tidak dapat menjawab banyak panggilan penduduk mahupun sampai ke lokasi serangan Israel. – Foto fail/REUTERS

Pertahanan Awam Gaza pada Selasa memaklumkan bahawa kebanyakan kenderaan kecemasannya terpaksa menghentikan operasi kerana kekurangan bahan api, menimbulkan kebimbangan mengenai situasi kemanusiaan yang semakin teruk di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

“Kami mengisytiharkan pemberhentian operasi bagi kebanyakan kenderaan pertahanan awam di Wilayah Gaza kerana bahan api yang tidak mencukupi. Pada masa ini, kami beroperasi dengan hanya sebuah lori tangki air dan sebuah kenderaan penyelamat,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

Pertahanan Awam Gaza menekankan bahawa sejak pertengahan November, kru kecemasan tidak dapat menjawab banyak panggilan penduduk mahupun sampai ke lokasi serangan Israel.

“Ini menandakan malapetaka kemanusiaan yang bakal berlaku, menambah penderitaan rakyat kita di Gaza ketika pencerobohan Israel berterusan,” kata pasukan itu.

Pertahanan Awam turut memberi amaran bahawa krisis kekurangan bahan api, ditambah lagi dengan pemindahan paksa ribuan penduduk dari utara Gaza, sangat menjejaskan keupayaan mereka untuk menangani keperluan kemanusiaan yang kian meningkat di seluruh wilayah berkenaan.

Sejak 5 Okt, Israel telah melancarkan serangan darat di utara Gaza dengan alasan untuk menghalang kumpulan pejuang Hamas daripada berkumpul semula.

Rakyat Palestin bagaimanapun, menuduh Israel berusaha untuk menduduki kawasan itu dan mengusir penduduknya secara paksa.

Israel terus menyekat penghantaran bahan api ke wilayah terkepung itu, hanya menyediakan jumlah minimum yang gagal memenuhi keperluan krisis kemanusiaan. – Bernama

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

AS kenakan sekatan baharu terhadap pemimpin Hamas, Al-Qassam

Next Post

Presiden UAE, Emir Qatar bincang meredakan ketegangan di Timur Tengah

Related Posts