Presiden Syria, Ahmad Al-Sharaa dilaporkan telah menyerahkan kembali beberapa premis yang sebelum ini menjadi milik Hamas di negara itu, menurut portal Al-Manassa.
Memetik sumber dalam pergerakan itu, laporan tersebut menyatakan bahawa pentadbiran baharu Syria turut menarik balik sekatan ke atas aset Hamas yang sebelum ini dirampas oleh rejim terdahulu selepas kumpulan tersebut enggan terlibat dalam konflik dalaman negara itu.
Menurut laporan itu, langkah berkenaan mencerminkan hubungan yang semakin erat antara Hamas dan pentadbiran baharu Syria, yang juga menghargai pendirian Hamas sebagai sebuah gerakan penentangan yang berfokus kepada perjuangan Palestin.
Hubungan antara Hamas dan Syria telah mengalami perubahan sejak beberapa dekad lalu. Hamas sebelum ini beroperasi di Syria sejak akhir 1990-an dengan sokongan Hafez Al-Assad, sebelum mengambil keputusan untuk meninggalkan negara itu pada awal 2012 susulan tindakan keras rejim Bashar Al-Assad terhadap rakyatnya.
Laporan itu turut menyebut bahawa kepimpinan Hamas dijangka bertemu dengan pemimpin pentadbiran baharu Syria dalam masa terdekat bagi mengucapkan tahniah kepada Al-Sharaa serta membincangkan perkembangan semasa. – Dunia Palestin