Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menegaskan pada Ahad bahawa tiada kuasa yang dapat mengusir penduduk Gaza dari tanah air mereka yang “abadi”, kerana Gaza, Tebing Barat, dan Baitulmaqdis Timur adalah milik rakyat Palestin.
“Tiada siapa yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan penduduk Gaza dari tanah air abadi mereka, yang telah wujud selama ribuan tahun. Palestin, termasuk Gaza, Tebing Barat, dan Baitulmaqdis Timur, adalah milik rakyat Palestin,” kata Erdogan kepada wartawan di Istanbul sebelum berlepas ke Malaysia.
Beliau turut menegaskan bahawa cadangan pentadbiran AS mengenai Gaza, yang dibuat di bawah tekanan rejim Zionis, tidak berbaloi untuk dibincangkan, merujuk kepada cadangan Presiden AS, Donald Trump, untuk menempatkan semula rakyat Palestin.
Erdogan juga memuji Hamas kerana menunaikan janjinya dalam pertukaran tahanan yang sedang berlangsung dengan Israel, meskipun terdapat percubaan Israel untuk menggagalkan proses tersebut. – Anadolu