Pemimpin tertinggi Iran gesa hukuman mati terhadap pemimpin Israel

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. – Foto REUTERS

Pemimpin tertinggi Iran, yang menyokong pejuang Hamas dan Hizbullah di Gaza dan Lubnan, berkata hukuman mati wajar dikenakan terhadap pemimpin Israel, bukannya waran tangkap.

Ayatollah Ali Khamenei mengulas mengenai keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Khamis lalu dan bekas ketua pertahanannya, Yoav Gallant serta seorang pemimpin Hamas, Ibrahim Al-Masri.

“Mereka mengeluarkan waran tangkap, itu tidak cukup… Hukuman mati harus dijatuhkan untuk pemimpin-pemimpin jenayah ini,” kata Khamenei, merujuk kepada pemimpin Israel.

Dalam keputusan mereka, hakim ICC berkata, terdapat asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa Netanyahu dan Yoav Gallant bertanggungjawab secara jenayah atas tindakan termasuk pembunuhan, penganiayaan dan kelaparan sebagai senjata perang sebagai sebahagian daripada serangan meluas dan sistematik terhadap penduduk awam Gaza.

Keputusan itu disambut dengan kemarahan di Israel, yang menyebutnya memalukan dan tidak masuk akal.

Penduduk Gaza berharap ia dapat membantu mengakhiri keganasan dan membawa mereka yang bertanggungjawab atas jenayah perang ke muka pengadilan.

Israel menolak bidang kuasa mahkamah yang berpusat di The Hague dan menafikan dakwaan jenayah perang di Gaza.

Waran tangkap untuk seorang pemimpin pejuang Hamas, Ibrahim Al-Masri, yang dikatakan mencetuskan serangan pada 7 Oktober tahun lalu, ke atas Israel sekali gus mengakibatkan konflik di kawasan Gaza.

Israel berkata, mereka sudah membunuh Masri, yang juga dikenali sebagai Mohammed Deif, dalam serangan udara pada Julai lalu, tetapi pejuang Hamas belum mengesahkan atau menafikan perkara itu. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bantahan di seluruh Eropah menentang serangan Israel di Gaza, Lubnan

Next Post

Al-Qassam terus pertahan Gaza, puluhan ribu tentera Israel cedera

Related Posts