Malaysia ajak dunia bertindak tegas terhadap rejim Zionis

Asap memenuhi ruang udara di utara Semenanjung Gaza. – Foto AFP

Malaysia mengajak masyarakat antarabangsa bersatu mengambil tindakan tegas dan mendakwa rejim Zionis di atas jenayah tanpa henti Israel terhadap rakyat Palestin yang genap setahun.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan masa untuk bertindak sudah lama tiba dan semua negara harus segera menghentikan kekejaman itu.

“Tragedi Oktober lalu, genap setahun, menjadi peringatan suram mengenai keganasan tanpa henti ke atas rakyat Palestin.

“Sepanjang setahun ini, rejim Zionis Israel telah membunuh secara purata 115 rakyat Palestin setiap hari dan mencederakan 274 lagi, kebanyakannya warga emas, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.

Penduduk Palestin berjalan di tengah-tengah runtuhan bangunan. – Foto AFP

“Komuniti hancur dan kawasan di Gaza kini tidak lagi dapat didiami. Dunia tidak boleh terus menutup mata terhadap nyawa yang hilang dan masa depan rakyat Palestin yang dirampas,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, keganasan dan penindasan rejim Zionis berterusan tanpa tanda berhenti meskipun pelbagai rundingan, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sudah dibuat.

“Rejim terbabit tetap berdegil, melaksanakan genosid, memperluas penempatan haram, memusnahkan infrastruktur penting dan kini melanggar kedaulatan Lubnan.

“Di mana-mana di dunia, pelanggaran undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia, termasuk genosid dan jenayah perang, tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.

Keganasan dan penindasan rejim Zionis berterusan tanpa tanda berhenti meskipun pelbagai rundingan sudah dibuat. – Foto AFP

“Hanya Israel bertindak tanpa sebarang akibat, ini tidak boleh diterima. Israel tidak boleh lagi berlindung di sebalik sejarahnya untuk melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Justeru, Malaysia mengulangi sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah negara merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara sehaluan untuk memastikan keanggotaan penuh Palestin di PBB,” menurut Kementerian Luar. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Setahun genosid Gaza: Naratif yang tidak seimbang

Next Post

Netanyahu beri amaran Lubnan akan ‘musnah seperti Gaza’

Related Posts