Jawatankuasa PBB sifatkan serangan Israel di Gaza ‘konsisten dengan genosid’

Seorang budak lelaki Palestin duduk di sebelah kotak barangan makanan Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di Bandar Gaza. – Foto AFP

Perang Israel di Gaza menepati dengan ciri-ciri genosid, menurut satu laporan jawatankuasa khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbitkan semalam.

Pada masa sama, satu laporan Human Rights Watch (HRW) menyatakan pemindahan secara paksa penduduk Gaza oleh Israel adalah jenayah terhadap kemanusiaan.

Israel menafikan dakwaan HRW dengan menyatakan ia adalah palsu dan menegaskan bahawa usaha pihaknya hanya tertumpu kepada pemusnahan keupayaan pejuang Hamas dan bukan terhadap rakyat Gaza.

Bagaimanapun, Israel belum memberi maklum balas terhadap laporan PBB itu.

Jawatankuasa Khas PBB menyatakan bahawa korban awam dan operasi yang mengancam nyawa sengaja dilancarkan ke atas rakyat Palestin, merujuk kepada tempoh bermulanya serangan Israel pada 7 Oktober 2023, selepas diserang pejuang Hamas, hingga Julai lalu.

Jawatankuasa itu berkata, pengepungan Israel, sekatan bantuan, serta serangan dan pembunuhan disasarkan terhadap orang awam, walaupun ada perintah larangan daripada PBB dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Tindakan itu secara langsung mengakibatkan kematian, kebuluran, dan kecederaan serius secara sengaja dalam kalangan penduduk Palestin.

Menurut jawatankuasa itu, tindakan perang Israel di Gaza adalah ‘konsisten dengan ciri-ciri genosid’, ungkapan yang pertama kali digunakan secara rasmi dalam dokumen PBB berhubung perang semasa di Gaza.

Menurut Jawatankuasa PBB itu, Israel menggunakan isu kebuluran sebagai strategi perang dan mengenakan hukuman kolektif ke atas penduduk Palestin.

HRW, dalam satu laporan berasingan, berkata kenyataan oleh pegawai kanan yang bertanggungjawab menunjukkan bahawa pemindahan paksa sengaja dilakukan dan adalah sebahagian daripada dasar Israel, oleh itu ia merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.

Lelaki Palestin mengangkut kotak barangan makanan Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di Bandar Gaza. – Foto AFP

Laporan itu menambah bahawa memandangkan bukti yang menunjukkan pelbagai tindakan pemindahan paksa dijalankan dengan niat, maka ia adalah jenayah perang.

Penyelidik HRW, Nadia Hardman berkata, penemuan laporan setebal 172 halaman itu adalah berdasarkan temu bual dengan penduduk Gaza yang dipindahkan, imej satelit, dan laporan awam yang dijalankan sehingga Ogos.

Menurut PBB, 1.9 juta rakyat Palestin sudahpun dipindahkan dari Gaza setakat Oktober tahun ini. Sebelum perang bermula pada 7 Oktober tahun lalu, jumlah penduduk rasmi di wilayah berkenaan adalah 2.4 juta orang.

Laporan PBB pada Khamis mendokumentasikan bagaimana kempen pengeboman besar-besaran Israel di Gaza merosakkan perkhidmatan penting dan mencetuskan bencana alam sekitar yang memberi kesan kesihatan berpanjangan.

Ketua Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Basal memberitahu AFP pada Khamis bahawa sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 30 cedera, kesemuanya orang awam, dalam serangan udara Israel di seluruh wilayah Palestin.

Menurut HRW, tindakan Israel juga kelihatan memenuhi tafsiran pembersihan etnik di kawasan-kawasan di mana rakyat Palestin tidak akan dapat kembali lagi selepas diusir.

Laporan HRW itu memberi tumpuan khusus kepada koridor Philadelphi dan Netzarim, yang telah ‘dihapuskan, diluaskan, dan dibersihkan’ oleh tentera Israel untuk mewujudkan zon penampan.

Jawatankuasa PBB menekankan kewajipan negara pihak ketiga untuk bertindak segera bagi menghentikan pertumpahan darah, sambil mendakwa negara lain enggan bertanggungjawab, malah terus memberi sokongan ketenteraan dan lain-lain kepada Israel.

HRW menggesa pendakwa Mahkamah ICC untuk membuat siasatan dan melakukan pendakwaan bagi memberi tekanan kepada Israel. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PBB: Israel terus menghalang misi bantuan menyelamatkan nyawa ke utara Gaza

Next Post

UNRWA: Hanya tinggal seorang pakar bedah di utara Gaza

Related Posts