Beirut bergegar bagai dilanda gempa bumi angkara serangan Israel

Seorang kakitangan penyelamat berdiri berhampiran sebuah bangunan yang rosak akibat serangan udara Israel, di Beirut, Lebanon, pada 10 Oktober 2024. – Foto REUTERS

Sekurang-kurangnya 22 terbunuh, manakala lebih 117 lagi cedera susulan serangan bom Israel yang menyasarkan dua lokasi di pusat Beirut.

Serangan Israel di kawasan perumahan di pusat Beirut itu turut menghasilkan kepulan asap tebal dan bunyi letupan yang kuat, selain siren ambulans juga kedengaran sepanjang malam.

Serangan itu menyasarkan pusat Beirut sejak Israel memperhebat kempen pengebomannya ke atas negara itu sejak dua minggu lalu.

Dua bangunan bertingkat runtuh di daerah Basta, manakala penduduk Beirut mendakwa masih terkejut dengan bunyi letupan yang boleh kedengaran sehingga kira-kira satu kilometer dari situ.

Pasukan penyelamat menyuluh lampu sorot ke arah runtuhan, manakala puluhan lelaki dilihat membersihkan sisa runtuhan menggunakan penyodok, dalam persekitaran dipenuhi lumpur akibat paip pecah.

Beberapa mangsa yang cedera dilihat terbaring di tepi jalan, manakala yang lain mengumpul pakaian sambil bersiap untuk melarikan diri dari kawasan Ras el-Nabaa dan al-Nuweiri di Beirut.

Selepas berulang kali membedil kawasan pinggir selatan Beirut yang menjadi kubu Hizbullah sejak dua minggu lalu, Israel mulai semalam menyasarkan kawasan pusat bandar untuk kali ketiga.

Sementara itu, bangunan lapan tingkat turut terjejas susulan serangan di Nweiri dengan anggota bomba berusaha memadamkan api selepas ‘pengeboman bangunan kediaman’ seperti digambarkan Agensi Berita Nasional.

Orang ramai berdiri berhampiran sebuah bangunan yang rosak di tapak serangan udara Israel, di tengah-tengah konflik yang berterusan antara Hizbullah dan tentera Israel, di Ras Al-Nabaa, Beirut, Lubnan. – Foto REUTERS

Suasana menjadi tegang selepas Hizbullah dan tentera Lubnan membuat kepungan keselamatan di sekitar kawasan itu, selain kumpulan pejuang itu membatalkan sidang media yang dijadualkan hari ini, susulan perkembangan semasa.

Serangan Israel, yang dilancarkan tanpa amaran, menandakan kali ketiga ia memperluaskan kempen mereka ke atas Lubnan pada akhir September.

Operasi pengeboman diperluaskan ke kawasan di luar Dahiyeh, sebuah kawasan pinggir selatan yang mengalami serangan udara hampir setiap hari dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Israel juga menyerang Kola di Beirut pada 29 September dan Bachoura pada 3 Oktober, dibalas serangan roket besar-besaran Hiuzbullah menyasarkan Kiryat Shmona, Beit Hillel dan Maayan Baruch dekat sempadan Israel.

Media Israel melaporkan dua warganegara Israel cedera ringan akibat serpihan bom di kaki mereka di Galilea Utara.

Sementara itu, tentera Israel menegaskan bahawa tentera mereka tetap meneruskan pencerobohan darat ke dalam Lubnan sambil disokong oleh puluhan serangan udara. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

10 kontena bantuan Malaysia sudah masuk ke Gaza

Next Post

Analisis Strategik Pasca Setahun Taufan Al-Aqsa

Related Posts