8 tentera Israel maut, Hizbullah tangkis penyusupan rejim Zionis ke selatan Lubnan

Kepulan asap kelihatan di selatan Beirut, semalam, ketika perang semakin meruncing. – AFP

Hizbullah berkata, pihaknya berjaya menangkis penyusupan Israel ke dalam selatan Lubnan, semalam, ketika rejim Zionis melaporkan lapan tenteranya terbunuh – korban pertama mereka sejak ia melancarkan serangan rentas sempadan pada minggu ini.

Pertempuran berkenaan menyusul beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu secara besar-besaran ke atas Israel di mana Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, memberi amaran bahawa Tehran akan menanggung akibat daripada tindakan yang disifatkannya sebagai ‘kesilapan besar’ itu.

Namun, Iran yang juga penyokong Hizbullah, menegaskan pihaknya bersiap siaga untuk memperhebat respons sekiranya Israel bertindak balas.

Ketegangan semakin meruncing itu mencetuskan kebimbangan akan peperangan yang telah meragut lebih 1,000 nyawa di Lubnan, setakat ini, bakal meluas.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, dilaporkan menolak untuk menyokong sebarang serangan Israel ke atas tapak nuklear Iran, manakala Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pula sekali lagi memberi amaran untuk melancarkan tindak balas ‘lebih kuat’ walaupun menegaskan Tehran ‘bukan mencari perang.’

Sehari selepas tentera Israel memaklumkan bahawa pihaknya sedang melancarkan ‘serangan darat bersasar’ di selatan Lubnan, Tel Aviv melaporkan kematian pertama tenteranya dalam perang Israel-Hizbullah, sebelum angka itu terus meningkat kepada lapan korban.

Israel mengebom kubu kuat Hizbullah di selatan Beirut selepas melancarkan serangan besar-besaran yang mengakibatkan pemimpin kumpulan itu, Hassan Nasrallah, syahid pada minggu lalu.

Hizbullah pula berkata, pihaknya berjaya memaksa tentera Israel berundur, selain menyasarkan sebuah unit Israel dengan bahan letupan dan memusnahkan tiga kereta kebal Merkava dengan roket ketika mereka mara ke perkampungan Maroun al-Ras.

Tentera Israel berkata, pihaknya melakukan dua serangan singkat di Lubnan dan memberi amaran kepada penduduk supaya mengosongkan lebih 20 kawasan. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Solat hajat buat rakyat Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman

Next Post

Perang terus memuncak, Israel serang tengah Beirut selepas tentera maut

Related Posts