Perang terus memuncak dengan Israel melancarkan serangan udara ke atas sasaran milik Hizbullah di tengah Beirut, hari ini, selepas sejumlah tentera darat rejim Zionis terbunuh berhampiran sempadan.
Serangan itu mengenai sebuah fasiliti menyelamat kepunyaan Hizbullah, menurut sumber yang rapat dengan kumpulan pejuang berkenaan, manakala Kementerian Kesihatan Lubnan pula memaklumkan bahawa sekurang-kurang enam terkorban dalam kejadian terbabit.
Wartawan AFP di Beirut pula melaporkan letupan kuat kedengaran dan beberapa bangunan dilihat bergegar.
Ia adalah serangan kedua Tel Aviv ke atas pusat ibu negara Lubnan, minggu ini, susulan bedilan peluru berpandu secara besar-besaran oleh Iran terhadap Israel sehingga menyebabkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, memberi amaran bahawa Tehran akan menanggung akibat daripada tindakan yang disifatkannya sebagai ‘kesilapan besar’ itu.
Namun, Iran yang juga penyokong Hizbullah, menegaskan pihaknya bersiap siaga untuk memperhebat respons sekiranya Israel bertindak balas.
Ketegangan semakin meruncing itu mencetuskan kebimbangan akan peperangan yang telah meragut lebih 1,000 nyawa di Lubnan, setakat ini, bakal meluas.
Israel mengebom kubu kuat Hizbullah di selatan Beirut selepas melancarkan serangan besar-besaran yang mengakibatkan pemimpin kumpulan itu, Hassan Nasrallah, syahid pada minggu lalu.
Sejurus sebelum tengah malam Rabu, Israel melancarkan tiga serangan udara ke atas pinggir bandar di selatan Beirut – gelombang ketiga serangan dalam tempoh 24 jam – dengan bunyi letupan boleh didengari hingga sejauh beberapa kilometer.
Tentera Israel mengeluarkan arahan melalui media sosial untuk penduduk di beberapa bahagian selatan Beirut yang padat dengan populasi, meninggalkan kawasan terbabit pada awal pagi tadi.
Kementerian Kesihatan Lubnan merekodkan sekurang-kurang 46 terkorban dan 85 lagi cedera akibat serangan Israel dalam tempoh 24 jam lalu.
Terdahulu, agensi pengurusan bencana Lubnan memaklumkan, sekurang-kurang 1,928 mangsa maut di negara ini sejak Israel dan Hizbullah saling berbalas serangan rentas sempadan selepas perang terkini meletus di Gaza pada Oktober tahun lalu. – Berita Harian