Pengurus Dunia Palestin Network, Ahmad Nu’man bin Mazlan, telah menghadiri kursus latihan Strategic Planning for Digital Content yang dianjurkan oleh Al Jazeera Media Institute di Doha, Qatar pada 15 hingga 19 September 2024 baru-baru ini.
Kursus selama lima hari itu bertujuan untuk memperkukuh kemahiran peserta dalam perancangan strategik kandungan digital, yang menjadi semakin penting dalam landskap media global hari ini.
Ahmad Nu’man, bersama wakil-wakil media lain dari pelbagai negara, menerima latihan intensif berkaitan teknik-teknik pengurusan kandungan digital, strategi pemasaran digital, dan penggunaan media sosial secara berkesan.
Dalam satu kenyataan, Ahmad Nu’man berkata, penyertaannya dalam kursus ini adalah sebahagian daripada usaha Dunia Palestin Network untuk memperhebat kempen kesedaran mengenai isu Palestin melalui platform digital.
“Penyebaran maklumat secara digital semakin penting dalam memperjuangkan keadilan dan laporan yang benar, khususnya dalam isu Palestin. Dengan perancangan strategik yang tepat, kami dapat memperluas capaian kandungan kami dan menarik perhatian lebih ramai pihak di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Al Jazeera Media Institute dikenali sebagai salah satu institusi latihan media terkemuka di rantau Timur Tengah dan kerap menganjurkan program latihan untuk profesional media dari seluruh dunia sejak 20 tahun lalu.
Kursus ini turut memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman serta memperkukuh rangkaian kerjasama antarabangsa dalam bidang media. – Dunia Palestin