Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengarahkan kesemua anggota mereka supaya tidak lagi menggunakan sebarang jenis peranti komunikasi selepas ribuan alat kelui dan walkie-talkie digunakan pejuang Hizbullah menjadi sasaran serangan siber ganas pada minggu lalu.
Salah seorang pegawai keselamatan berkata, operasi berskala besar bakal dilakukan untuk memeriksa kesemua peranti digunakan IRGC dan bukan hanya melibatkan alat komunikasi.
Menurutnya, sebahagian besar peranti tersebut adalah buatan tempatan atau diimport dari China dan Rusia.
Teheran juga bimbang jika ejen Israel turut menyasarkan anggota mereka dan siasatan menyeluruh telah dilancarkan sebagai langkah berjaga-jaga menyasarkan anggota peringkat pertengahan serta berpangkat tinggi.
“Ia melibatkan pemeriksaan akaun bank milik individu berkenaan di bank tempatan dan luar negara serta rekod perjalanan termasuk keluarga mereka,” ujarnya yang enggan identitinya didedahkan kerana membongkar ‘maklumat sensitif’ tersebut.
Dia juga enggan memberi butiran lanjut tentang bagaimana kira-kira 190,000 anggota IRGC berkomunikasi.
“Buat masa ini kami menggunakan penyulitan hujung ke hujung dalam sistem pemesejan. Kami telah menghubungi Hizbullah untuk penilaian teknikal dan beberapa sampel serpihan peranti itu dihantar untuk diperiksa pakar di sini,” ujarnya.
Serangan yang diselaraskan selama dua hari berturut-turut itu telah meragut 39 nyawa dan lebih 3,000 orang cedera.
Pihak berkuasa Lubnan dan Hizbullah percaya Israel mendalangi siri serangan tersebut, namun rejim Tel Aviv tidak membuat sebarang pengakuan hingga kini, sebaliknya berterusan melancarkan serangan udara bertalu-talu ke atas Beirut.
Kuasa kuat Teheran
Satu lagi kebimbangan utama IRGC adalah kemudahan nuklear dan misil milik mereka terutama di ruangan simpanan bawah tanah yang mungkin menjadi sasaran musuh.
“Sejak 2023, langkah keselamatan telah dipertingkatkan,” katanya yang merujuk kepada ciri lebih ketat setelah terdapat cubaan untuk mensabotaj program misil Teheran.
Jelasnya, Iran bertindak segera mengetatkan kawalan keselamatan pada tahap lebih tinggi berbanding sebelum ini selepas kejadian letupan di Beirut.
IRGC yang ditubuhkan selepas Revolusi Islam 1979 merupakan kuasa politik, ketenteraan dan ekonomi yang kuat di Iran serta mempunyai pasukan udara, laut dan darat mereka sendiri yang bertanggungjawab mengawasi senjata strategik di negara tersebut.
Ia turut berpengaruh di Asia Barat melalui operasi di bawah Pasukan al-Quds dengan menyediakan bantuan teknologi, senjata dan latihan kepada sekutu mereka; Hizbullah di Lubnan, Hamas di Gaza, Huthi di Yemen dan kumpulan militia di Iraq.
Angkatan tentera itu menggunakan pelbagai peranti komunikasi yang disulitkan termasuk walkie-talkie untuk komunikasi yang selamat.
“Ia dihasilkan pengeluar tempatan atau gabungan pembekal domestik dan luar negara meskipun terdapat pelbagai model serta jenama,” ujar seorang lagi pegawai keselamatan sambil menambah, mereka sudah tidak lagi menggunakan alat kelui sejak lebih 20 tahun lalu.
Teheran turut membangunkan transmisi radio gred tentera sendiri melalui industri pertahanan untuk mengelakkan pergantungan terhadap import bekalan dari luar terutamanya ketika ia berdepan sekatan ketat Barat berhubung program nuklear mereka.
Sebelum ini ia mengimport peranti komunikasi dari Rusia, China dan Jepun.
Iran dan Israel terlibat dalam perang bayangan selama beberapa dekad dan saling menuding jari terhadap perbuatan sabotaj serta plot bunuh menyasarkan individu berpengaruh.
Konflik antara kedua-dua seteru lama itu semakin meningkat sejak 2023 selari dengan perang genosid di Gaza yang tercetus hampir setahun lalu.
Situasi kian meruncing setelah rejim Zionis didakwa mendalangi pembunuhan kejam ke atas pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran dan komander kanan Hizbullah, Fuad Shukr di Beirut pada akhir Julai lalu. – Berita Harian