Israel lulus RUU isytihar UNRWA pertubuhan pengganas

Parlimen Israel meluluskan peringkat awal Rang Undang-Undang (RUU) yang mengisytiharkan Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) sebagai pertubuhan pengganas.

Keputusan itu sebagai langkah terbaharu tentangan Israel terhadap agensi yang didakwa mempunyai hubungan kerjasama dengan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

RUU itu sebelum ini diusulkan anggota Knesset, Yulia Malinovsky, yang menuduh UNRWA sebagai kumpulan dalam negara berperang yang bekerja untuk musuh atau lajur kelima dalam Israel.

Israel mendakwa ratusan kakitangan UNRWA adalah ahli kumpulan organisasi berkaitan Islam termasuk Hamas dan Jihad Islam.

Beberapa negara yang memberikan sumbangan pembiayaan kepada UNRWA  telah mengambil langkah menghentikan dana berikutan tuduhan Israel.

Namun, baru-baru ini banyak negara menarik balik keputusan itu termasuk Britain yang dilaporkan akan menyambung semula pembiayaan.

Jurucakap UNRWA, Juliette Touma yakin dan percaya langkah terbaharu Israel adalah satu lagi taktik bagi membubarkan organisasi terbabit.

UNRWA itu ditubuhkan pada Perhimpunan Agung PBB selepas konflik Arab-Israel pertama, yang tercetus sejurus selepas penubuhan Israel pada Mei 1948.

Agensi itu membekalkan bantuan kemanusiaan dan perlindungan untuk pelarian Palestin di Jordan, Lubnan, Syria, Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Ketika penubuhannya, UNRWA memberi perkhidmatan kepada kira-kira 750,000 pelarian Palestin. Ia termasuk lebih 540,000 kanak-kanak belajar di sekolah kendalian UNRWA.

Agensi itu juga menguruskan sejumlah 60 kem pelarian, 19 daripadanya di Tebing Barat, yang diduduki oleh Israel sejak 1967.

Di Semenanjung Gaza, yang dikuasai Hamas sejak 2007, situasi kemanusiaan sudah kritikal sebelum perang antara Israel dan Hamas bermula pada 7 Oktober tahun lalu sehingga telah mengorbankan lebih 39,000 penduduk. – Ismaweb

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Malaysia dukung keputusan ICJ berkaitan pendudukan Israel di Palestin

Next Post

Kumpulan Palestin tandatangani Deklarasi Beijing tamatkan perpecahan

Related Posts