Malaysia akan membuat keputusan muktamad berhubung pengambilan langkah selanjutnya susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin melanggar undang-undang antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata cadangan dan penelitian mengenai isu itu akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini.
“Mengenai keputusan ICJ, tentunya (Malaysia) mendukung keputusan itu. Ini kerana keputusan itu berdasarkan fakta jelas mengenai keganasan dan kekejaman Israel secara berterusan.
“Oleh itu, kita akan meneliti cadangan dan kesan daripada tindakan keputusan berkenaan, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini.
“Kita akan membuat keputusan muktamad mengenai langkah untuk bersama-sama ICJ, mengecam dan bertindak ke atas Israel,” katanya selepas Melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, di sini, hari ini.
Kelmarin, ICJ memutuskan pendudukan Israel selama beberapa dekad di wilayah Palestin sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan perlu dihentikan segera.
Kenyataan ICJ yang dipanggil Pendapat Nasihat itu tidak mengikat, namun ia diputuskan tatkala kebimbangan kian meningkat terhadap jumlah kematian dan kemusnahan dalam perang dilancarkan Israel di Gaza, sekali gus berkemungkinan akan meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Israel.
Ketua Hakim ICJ, Nawaf Salam, dipetik berkata mahkamah mendapati kehadiran berterusan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah.
Menurut penghakiman yang dibacakan di Istana Keamanan, Israel perlu menamatkan pendudukan mereka secepat mungkin.
ICJ berkata, Israel perlu menghentikan serta-merta semua aktiviti penempatan baharu dan memindahkan semua peneroka dari tanah yang diduduki.
ICJ di The Hague mengadakan pendengaran dari 19 hingga 26 Februari lalu mengenai kesan perundangan terhadap pendudukan Israel di wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur.
Ia menyaksikan lebih 50 negara dan tiga organisasi antarabangsa, iaitu Liga Negara-Negara Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam dan Kesatuan Afrika, membincangkan isu itu. – Berita Harian