Sayap ketenteraan Hamas, Briged al-Qassam meneruskan penentangan terhadap pencerobohan tentera Zionis di beberapa lokasi di Semenanjung Gaza bagi hari ke-605 berturut-turut, menurut kenyataan rasmi media ketenteraan pergerakan itu pada Isnin.
Menurut Briged al-Qassam, pejuangnya melancarkan serangan bersenjata di pelbagai medan pertempuran, termasuk menggunakan bom buatan sendiri, peluru berpandu anti-perisai dan anti-infantri, serta membedil kedudukan tentera Zionis dengan roket dan mortar.
Di bahagian timur Kem Jabalia, utara Gaza, pertempuran jarak dekat dilaporkan berlaku antara pejuang al-Qassam dan tentera penjajah Zionis. Dalam satu serangan hendap yang dirancang rapi, beberapa askar Zionis terbunuh dan cedera.
Media Zionis mengesahkan tiga anggotanya maut dalam serangan tersebut, manakala beberapa lagi dilaporkan mengalami kecederaan selepas disasarkan dengan bom dan peluru berpandu anti-perisai.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan bersenjata Yaman turut mengumumkan pelancaran peluru berpandu balistik hipersonik ke wilayah Palestin yang diduduki, sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Siren kecemasan dilaporkan berbunyi di Baitulmaqdis, Tel Aviv dan beberapa bandar utama lain, diiringi letupan kuat yang menyebabkan gangguan besar termasuk penangguhan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Ben Gurion.
Serangan itu menandakan satu lagi gelombang sokongan terbuka dari pihak serantau kepada perjuangan rakyat Palestin yang kini berhadapan pencerobohan berterusan sejak lebih 600 hari lalu. — Dunia Palestin