Israel arah rakyat Palestin kosongkan Bandar Gaza

Tentera Israel mengarahkan rakyat Palestin mengosongkan Bandar Gaza dan menuju ke selatan ketika rejim itu meningkatkan serangan merentasi wilayah utara, selatan dan tengah Semenanjung Gaza.

Israel memaklumkan kepada penduduk Gaza mengenai perintah pemindahan dengan menggugurkan risalah menggesa “semua mereka di Bandar Gaza” untuk mengambil dua “laluan selamat” ke selatan ke kawasan sekitar bandar tengah Deir al-Balah.

Bandar Gaza yang dulunya sebuah bandar paling ramai penduduk katanya, akan “kekal sebagai zon tempur berbahaya.”

Awal minggu ini tentera telah mengusir rakyat Palestin dari bahagian timur dan tengah bandar itu tetapi ramai yang tinggal di situ selepas membuat kesimpulan tiada tempat lain untuk mencari perlindungan di Semenanjung Gaza.

Tindakan ketenteraan yang dipergiatkan itu berlaku ketika pengantara Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar bertemu dengan pegawai Israel di ibu negara Qatar, Doha, untuk menyambung semula rundingan gencatan senjata dengan Hamas sebagai pertukaran untuk pembebasan puluhan tebusan Israel yang ditahannya.

Israel mendakwa ia menggempur pejuang Hamas yang berkumpul semula di pelbagai bahagian di Gaza sembilan bulan selepas perang.

Tentera berkata ia menamatkan operasi yang dilancarkan akhir bulan lalu di kejiranan Bandar Gaza di Shujaiyah.

Serangan kelmarin melanda empat rumah di Deir al-Balah dan kem pelarian Nuseirat berdekatan, membunuh 20 rakyat Palestin.

Rumah yang diserang di Deir al-Balah berada di dalam ‘zon selamat kemanusiaan’ di mana Israel telah memberitahu rakyat Palestin untuk mencari perlindungan.

Antara yang maut ialah enam kanak-kanak dan tiga wanita, menurut pegawai di Hospital Syuhada al-Aqsa.

Pengeboman semalaman itu berlaku beberapa jam selepas pesawat Israel melancarkan serangan ke atas pintu masuk sebuah sekolah yang melindungi keluarga pelarian di luar bandar selatan Khan Younis.

Jumlah korban akibat serangan itu meningkat kepada 31 orang termasuk lapan kanak-kanak, dan lebih 50 cedera, menurut pegawai di Hospital Nasser.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata sangat sedikit bantuan yang sampai kepada rakyat Palestin dari lintasan sempadan Kerem Shalom kerana pelanggaran undang-undang, pertempuran berterusan, dan kekurangan penyelarasan yang berkesan dengan tentera Israel di Gaza.

Kolonel Israel Elad Goren, ketua unit Israel yang dikenali sebagai Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT) yang bertanggungjawab ke atas dasar awam dan penyelarasan logistik antara Israel dan Gaza, berkata ia telah memudahkan kemasukan lebih 40,000 trak.

Bagaimanapun, PBB berkata ia hanya menerima dan mengagihkan bantuan daripada 26,000 trak.

Goren menggesa PBB menambah trak, tenaga kerja dan gudang.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata PBB sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu orang yang memerlukan, terutamanya di tengah dan selatan Gaza, tetapi menambah “anda mempunyai pelanggaran undang-undang, ditambah dengan konflik yang berterusan.” – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Netanyahu: Perjanjian tebusan dengan Hamas mesti benarkan Israel teruskan perang

Next Post

Tentera Israel memusnahkan semula Hospital PFBS yang telah dibaik pulih di Gaza

Related Posts