Hamas mengeluarkan kenyataan susulan kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), menegaskan bahawa sikap mereka terhadap pentadbiran baharu akan bergantung kepada pendirian dan tindakan AS dalam menangani isu Palestin.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Hamas menyatakan kekecewaannya terhadap pentadbiran AS terdahulu yang sentiasa berpihak kepada Israel sejak penubuhan entiti haram itu pada 1948.
Menurut Hamas, pentadbiran sebelumnya telah memberi sokongan politik dan ketenteraan kepada Israel, yang membolehkan tentera Israel melancarkan perang dan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin, terutamanya kanak-kanak, wanita, dan warga tua.
“Kami menuntut agar penglibatan AS dalam sokongan yang membuta tuli kepada penjajah Israel dihentikan, dan tindakan konkrit diambil bagi menamatkan serangan terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, serta sokongan ketenteraan kepada rejim Zionis dihentikan,” jelas Hamas dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, Hamas turut menegaskan bahawa presiden AS yang baharu perlu mendengar suara masyarakat Amerika sendiri yang semakin lantang menentang sokongan terhadap Israel dan pembantaian yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
Hamas juga menambah bahawa rakyat Palestin akan terus berjuang menuntut kebebasan, kemerdekaan, dan hak mereka untuk mendirikan negara Palestin yang berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya. – Dunia Palestin