Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, menggesa penduduk negara Arab, Islam dan dunia mengadakan demonstrasi dan perarakan Sabtu ini bagi menyatakan solidariti terhadap penduduk Gaza dan tahanan di penjara Israel.
Dalam satu kenyataan di akaun Telegram Hamas, Haniyeh menggesa 3 Ogos menjadi hari kebangsaan dan antarabangsa untuk menyokong Gaza dan tahanan.
“Penyertaan negara Arab, Islam serta antarabangsa yang berkesan untuk tujuan ini dan kesinambungan semua bentuk demonstrasi serta perarakan terhadap pendudukan, pencerobohan dan jenayah Zionis hinggalah kekejaman terhadap banduan tahanan di penjara Nazi.
“Kami menantikan 3 Ogos sebagai hari yang penting, dilihat dan berkesan di semua bahagian Palestin, kem pelarian dan diaspora serta di dunia Arab, negara Islam dan dalam kalangan semua orang bebas di dunia, untuk menyokong rakyat kami di Gaza dan tahanan.
“Ia dibuat berikutan kesunyian antarabangsa dan ketidakupayaan untuk menghentikan perang agresif ini terhadap rakyat dan banduan. Berat sebelah dalam sokongan dan perkongsian penuh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dalam pencerobohan ini.
“Serta kegagalan institusi hak asasi manusia dan kemanusiaan dalam memikul tanggungjawab mereka dalam memberikan sokongan, bantuan dan kemenangan untuk rakyat kita di Semenanjung Gaza dan tawanan kita di penjara Zionis,” katanya yang dilaporkan portal Al Quds.
Sejak 7 Oktober lalu Israel dengan sokongan AS melancarkan perang ke atas Gaza, mengakibatkan lebih 130,000 syahid dan cedera, yang kebanyakannya kanak-kanak dan wanita.
Lebih 10,000 lagi hilang di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kebuluran yang dianggap bencana kemanusiaan terburuk di dunia.
Tel Aviv masih meneruskan perang dan mengabaikan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahukan peperangan dihentikan serta-merta termasuk arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa. – Berita Harian