Hamas teruskan usaha capai gencatan senjata menyeluruh di Gaza

Kepimpinan tertinggi Hamas kini giat menjalankan rundingan berterusan dengan pelbagai pihak bagi mencapai persetujuan menyeluruh ke arah penghentian penuh serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Menurut ahli Biro Politik Hamas, Dr Kamal Abu Aun, pihaknya terbuka secara positif terhadap sebarang inisiatif dan cadangan yang dikemukakan oleh para perantara bagi menamatkan pencerobohan yang sedang berlaku.

“Usaha dijalankan sepanjang masa dan secara intensif dengan semua pihak berkepentingan. Kami menegaskan komitmen kami terhadap sebarang penyelesaian yang membawa kepada penghentian serangan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi Hamas pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat Palestin di Gaza memainkan peranan penting dalam menggagalkan cubaan Israel untuk mewujudkan pentadbiran sementara yang bertentangan dengan nilai dan kepentingan rakyat.

“Ia membuktikan bahawa semua projek ketenteraan rejim Zionis di Gaza tidak akan berjaya dan akan berdepan dengan penentangan rakyat,” katanya.

Tambahnya, negara-negara Arab dan Islam tidak terkecuali daripada ancaman projek Zionis, malah perlu sedar bahawa perjuangan ini bukan hanya isu Palestin semata-mata, tetapi turut menyentuh keselamatan nasional dan kepentingan strategik umat Islam seluruhnya.

“Palestin tetap menjadi benteng pertahanan pertama dalam melindungi kepentingan ini,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Dr Kamal menegaskan bahawa sebarang usaha normalisasi hubungan dengan rejim Israel selepas perang kejam ini dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap Baitulmaqdis dan pengabaian tanggungjawab sejarah terhadap perjuangan Palestin.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap peranan berterusan yang dimainkan oleh Turki dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin serta pendirian politik gerakan pejuang.

“Kami berharap usaha para perantara, termasuk Turki, akan membuahkan hasil dalam masa terdekat ke arah penghentian serangan serta permulaan proses pembinaan semula Gaza,” katanya. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Penerima bantuan di Gaza dilakukan seperti permainan ‘Squid Game’

Next Post

Lebih 57,100 terbunuh di Gaza akibat serangan berterusan Israel

Related Posts