Pergerakan Perjuangan Islam (Hamas) menegaskan bahawa cubaan pengecut oleh penjajah Zionis untuk membunuh delegasi rundingan mereka di ibu negara Qatar, Doha, tidak akan melemahkan keteguhan pergerakan itu atau kepimpinan mereka.
Dalam satu kenyataan rasmi, Hamas menyatakan bahawa cubaan itu berlaku semasa delegasi mereka membincangkan cadangan terbaru dari Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Cubaan pembunuhan pengecut ini tidak akan mengubah pendirian dan tuntutan jelas kami, iaitu; penghentian segera serangan terhadap rakyat kami, pengunduran penuh tentera penjajah Zionis dari Gaza, pertukaran tahanan yang serius, serta bantuan dan pembinaan semula untuk rakyat kami,” kata Hamas.
Serangan itu telah mengorbankan lima orang iaitu Pengarah Pejabat Dr. Khalil al-Hayya, Jihad Lubbad, anak Dr. Khalil al-Hayya, Hamam al-Hayya serta tiga orang pengiring keselamatan, Abdullah Abdul-Wahid, Moumen Hassouna, dan Ahmed al-Mamlouk. Seorang anggota Pasukan Keselamatan Dalam Negeri Qatar, Bader Saad Mohammed al-Humaidi, turut terkorban.
Hamas mengecam serangan itu sebagai jenayah kejam, satu tindakan pencerobohan terang-terangan dan pelanggaran jelas terhadap norma serta undang-undang antarabangsa serta ancaman terhadap kedaulatan negara Qatar, yang bersama Mesir dalam menaja mediasi untuk menghentikan pencerobohan dan mencapai gencatan senjata serta pertukaran tahanan.
Menurut kenyataan itu, Hamas memegang pentadbiran Amerika Syarikat bertanggungjawab bersama dengan penjajah Zionis atas jenayah tersebut kerana sokongan berterusan mereka terhadap serangan dan jenayah terhadap rakyat Palestin.
Pergerakan itu menegaskan bahawa mereka akan terus berpegang pada hak nasional rakyat Palestin dan meneruskan jalan perjuangan sehingga penjajahan dihapuskan serta negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya dapat didirikan. – Dunia Palestin