Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai situasi yang semakin meruncing di Gaza apabila seluruh penduduknya kini berdepan risiko kematian akibat penyakit, kebuluran dan keganasan.
Jurucakap PBB, Stephanie Tremblay berkata, sejak pengepungan Israel, bantuan hanya terhad kepada bekalan untuk hospital dalam misi pemindahan perubatan, merujuk kepada kenyataan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
“Serangan Israel menghalang penduduk Palestin daripada mengakses keperluan asas untuk kelangsungan hidup, termasuk air,” katanya.
Tremblay berkata, pekerja bantuan pula tidak selamat untuk menjalankan tugas mereka kerana dihalang oleh pasukan Israel.
Ketua-ketua agensi PBB dan organisasi kemanusiaan di bawah Jawatankuasa Tetap Antara Agensi memaklumkan, seluruh penduduk di Gaza kini dalam bahaya – kematian semakin hampir akibat penyakit, kebuluran, dan keganasan.
Penduduk Palestin langsung tidak mempunyai perlindungan kerana serangan berterusan dari Israel, dan beliau menyeru supaya keselamatan orang awam terus dipelihara.
“Hari ini, pihak berkuasa Israel sekali lagi mengarahkan orang ramai di beberapa bahagian utara Gaza dan berpindah,” tambahnya, sambil memaklumkan bahawa kira-kira 14,000 orang Palestin yang dipindahkan secara paksa kini berlindung di tempat perlindungan dan lokasi lain. – Ismaweb