Hamas menunjukkan kesediaan untuk mengambil langkah konstruktif bagi memastikan gencatan senjata semasa di Gaza menjadi kekal, dan Israel seharusnya mempunyai pemahaman yang sama, kata Menteri Luar Turki pada Rabu.
“Semananjung Gaza adalah sebahagian daripada Palestin; ia mesti kekal begitu dan dilayan sedemikian,” kata Hakan Fidan dalam sidang media bersama di Ankara bersama rakan sejawatannya dari Mesir, Badr Abdelatty, lapor Anadolu.
Fidan melahirkan rasa gembira menerima kehadiran Menteri Luar Mesir itu, sambil memaklumkan bahawa Abdelatty turut diterima oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Memuji visi dan iltizam presiden kedua-dua negara, Fidan berkata hubungan Turki-Mesir kini mencatat “kemajuan signifikan”.
Beliau berkata mesyuarat pertama Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC) yang diadakan pada 4 September 2024 menjadi titik perubahan dalam hubungan kedua-dua negara, dan sebagai menteri luar, mereka menyelaras proses kerjasama merentasi pelbagai bidang.
Fidan turut memaklumkan bahawa beliau dan Abdelatty telah mempengerusikan mesyuarat pertama Kumpulan Perancangan Bersama Turki-Mesir, yang turut disertai wakil institusi berkaitan. Mesyuarat itu membincangkan secara terperinci aspek hubungan dua hala dan meneliti status semasa perjanjian-perjanjian yang sedang dirundingkan. – Dunia Palestin