Kerajaan Turki sedang memuktamadkan rancangan untuk menghantar ratusan anggota tenteranya ke Gaza sebagai sebahagian daripada pasukan pengaman antarabangsa, ketika rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel berhubung perkara itu masih berjalan, lapor Middle East Eye.
Menurut sumber yang dipetik portal itu, sebuah briged pengaman yang dianggarkan terdiri daripada sekurang-kurangnya 2,000 anggota sedang direkrut dari seluruh negara sejak beberapa minggu lalu. Kontinjen tersebut dijangka menyertai pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza bersama beberapa negara rakan lain.
Briged itu akan melibatkan anggota daripada pelbagai cabang tentera yang mempunyai pengalaman dalam misi keamanan dan zon konflik sebelum ini.
Rancangan keamanan Gaza yang diusahakan oleh Presiden AS, Donald Trump, dilaporkan meletakkan Turki sebagai salah satu negara utama yang bakal mengambil alih sebahagian besar wilayah di enklaf Palestin itu daripada Hamas.
Namun, langkah tersebut mendapat tentangan daripada kerajaan Israel, sementara Washington masih belum membuat keputusan dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga belum diluluskan.
“Tidak akan ada but tentera Turki di bumi Gaza,” kata jurucakap kerajaan Israel, Shosh Bedrosian, kepada pemberita pada Ahad.
Sumber Turki pula berkata, keraguan itu berpunca daripada keengganan Israel menerima kehadiran sekutu kuat NATO yang beroperasi di bawah mandat PBB di wilayah berkenaan, yang sehingga kini masih belum diberikan. – Dunia Palestin