Sempena Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin, Gerakan Perlawanan Islam (Hamas) menyeru masyarakat dunia untuk meningkatkan gerakan solidariti dan desakan terhadap Israel bagi menghentikan penindasan dan perang pembantaian yang telah berlarutan di Gaza selama 419 hari.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis, Hamas menyifatkan serangan Israel sebagai “kejam dan tiada tandingan dalam sejarah”, dengan menyasarkan lebih dua juta penduduk Gaza, yang kini menghadapi kehancuran total dalam kehidupan seharian mereka.
“Hari Solidariti Antarabangsa ini mengingatkan kita akan tanggungjawab sejarah semua institusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas menghentikan jenayah perang Israel, selain memberi tekanan kepada pihak yang menyokong mereka,” tegas kenyataan itu.
Hamas turut menghargai sokongan pelbagai pihak, termasuk masyarakat antarabangsa, badan-badan bukan kerajaan, dan gerakan rakyat yang menolak kezaliman Israel. Gerakan itu menyeru agar aktiviti solidariti diteruskan di semua bandar dan ibu kota dunia sehingga serangan di Gaza dihentikan.
Dalam kenyataan sama, Hamas menyeru rakyat Palestin di Tebing Barat, Baitulmaqdis, dan kawasan yang dijajah Israel untuk memperhebatkan penentangan terhadap penjajahan dan mempertahankan tanah air mereka daripada rancangan fasis serta jenayah golongan pelampau Zionis.
Hamas juga mencadangkan agar tarikh 29 November hingga 1 Disember dijadikan sebagai hari gerakan solidariti global. Mereka menggesa semua pihak, termasuk parti politik, kesatuan pekerja, dan organisasi masyarakat sivil, untuk mengadakan perarakan besar-besaran di seluruh dunia bagi menyuarakan bantahan terhadap serangan Israel yang berterusan di Gaza. – Dunia Palestin