Jangan semak semula doktrin nuklear, amaran Israel kepada Iran

Gambar edaran Pertubuhan Tenaga Atom Iran menunjukkan jurucakap pertubuhan itu, Behrouz Kamalvandi (kanan) dan Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharib Abadi (kiri), bergambar bersama Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi (dua dari kiri), di hadapan pintu masuk loji pengayaan nuklear Natanz di wilayah Isfahan, Iran. – Foto AFP

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan pihaknya akan mengambil semua tindakan untuk menghalang Iran memperoleh atau membangunkan senjata nuklear.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas diplomat tertinggi Iran mengeluarkan kenyataan mengenai kemungkinan menamatkan pematuhan larangan membangunkan senjata nuklear jika Barat terus mengenakan sekatan terhadap negara itu.

Persengketaan antara seteru utama di Asia Barat itu memuncak menjelang rundingan nuklear penting antara Iran dengan kerajaan Eropah hari ini.

Sidang penting itu dibayangi tindakan nekad Israel bersama Washington bagi menyekat Tehran, yang dikecam badan pengawas atom Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

“Saya akan melakukan segala-galanya untuk menghalang Iran menjadi kuasa nuklear, saya akan menggunakan semua sumber yang boleh digunakan,” kata Netanyahu dalam satu wawancara.

Israel adalah satu-satunya negara berkuasa nuklear di rantau itu, yang juga disyaki memiliki senjata nuklear secara tidak rasmi.

Selasa lalu, Netanyahu memberitahu bahawa gencatan senjata yang berkuat kuasa di Lubnan kini membolehkan Israel memberi tumpuan kepada Iran.

Iran melancarkan dua serangan peluru berpandu ke arah Israel sepanjang tahun lalu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hamas dan Hizbullah dan seorang jeneral Iran.

Israel bertindak balas dengan serangan terhadap Iran, yang terbaru pada 26 Oktober lalu apabila beberapa tapak ketenteraan dibom.

Kritikan yang dibuat di Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mendorong kenyataan balas tegas dari Tehran, namun pegawainya menunjukkan kesediaan untuk berunding, sebelum Presiden AS, Donald Trump, kembali memegang jawatan.

Trump ketika pentadbirannya selaku presiden sebelum ini, menekankan dasar ‘tekanan maksimum’ terhadap Iran.

Iran menegaskan negaranya mempunyai hak untuk membangunkan kuasa nuklear sebagai sumber tenaga untuk tujuan damai.

IAEA bagaimanapun berkata, Iran adalah satu-satunya negara bukan pemilik senjata nuklear yang memperkayakan uranium hingga 60 peratus selepas AS pada 2018 keluar daripada perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) bagi kurangkan pembangunan tenaga nuklear.

Susulan itu, Tehran mengurangkan pematuhan terhadap syarat JCPOA dengan meningkatkan pengayaan uranium kepada 60 peratus. Pengayaan uranium mendekati tahap 90 peratus diperlukan bagi menghasilkan bom nuklear.

Di bawah perjanjian pada 2015 itu, yang sepatutnya tamat pada 2025, tahap pengayaan uranium bagi Iran dihadkan kepada 3.67 peratus.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, memberi amaran bahawa kekecewaan di Tehran berhubung komitmen yang tidak dipenuhi, termasuk kegagalan untuk menarik balik sekatan, mencetuskan perdebatan sama ada negara itu perlu mengubah dasar nuklearnya.

“Kami tidak berniat untuk meningkatkan pengayaan uranium melebihi 60 peratus buat masa ini, dan ini adalah pendirian kami sekarang,” katanya dalam wawancara bersama akhbar The Guardian, yang diterbitkan menjelang rundingan Iran dengan Britain, Perancis dan Jerman.

Diplomat Iran, Majid Takht-Ravanchi, yang bertugas sebagai timbalan politik kepada Araghchi, dijadualkan mewakili Iran dalam rundingan pada Jumaat.

Menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA, beliau akan mengadakan pertemuan terlebih dahulu dengan Enrique Mora, timbalan setiausaha agung hal ehwal luar Kesatuan Eropah (EU).

Minggu lalu, IAEA yang terdiri daripada 35 negara meluluskan resolusi dicadangkan oleh Britain, Perancis, Jerman, dan AS, yang mengecam Iran atas kurangnya kerjasama dalam isu nuklear. – Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PBB alu-alukan sebarang usaha untuk gencatan senjata di Gaza

Next Post

Hamas seru dunia tingkatkan solidariti, desak Israel hentikan perang

Related Posts