Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bersedia mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu serta menteri-menteri kabinetnya.
Satu notis permohonan telah diserahkan Ketua Pendakwa Raya ICC, Karim Khan, kepada tiga panel hakim yang terlibat dalam pra-perbicaraan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Permohonan itu antara lain turut melibatkan pemimpin tertinggi Israel seperti Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant.
Selain itu, turut disenaraikan di bawah permohonan waran tangkap berkenaan adalah pemimpin-pemimpin Hamas, Yehia Sinwar, Mohammed Deif dan Ismail Haniyeh.
Permohonan itu susulan kedua-dua pihak dipercayai melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di semenanjung Gaza dan Israel.
Menurut laporan AP, tempoh dua bulan diperlukan buat tiga hakim itu menilai setiap bukti yang diserahkan sebelum ia boleh memasuki peringkat penghakiman seterusnya.
Jumaat lalu, Netanyahu berkata, sebarang keputusan ICC tidak akan menjejaskan tindakan Israel.
Ini kerana, Israel bukan ahli ICC dan tidak mengiktiraf bidang kuasanya, tetapi wilayah Palestin telah diterima masuk dengan status negara anggota pada 2015.
Pada Oktober lalu, Karim berkata, mahkamah mempunyai bidang kuasa ke atas sebarang kemungkinan jenayah perang yang dilakukan oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza dan pejuang Hamas di Israel.
Beliau menegaskan, pasukannya sedang giat menyiasat sebarang jenayah yang didakwa dilakukan di Gaza dan mereka yang melanggar undang-undang akan bertanggungjawab. – Astro Awani