Ketua agensi perisik Mossad Israel akan ke Doha, Qatar hari ini sebagai ketua delegasi rundingan terbaharu bagi menamatkan pertumpahan darah di Gaza.
Difahamkan, wakil Israel dan Hamas akan berunding dengan negara pengantara mengenai rancangan gencatan senjata yang telah lama terhenti dan pertukaran tebusan Israel untuk tahanan Palestin.
Sumber memberitahu Al Jazeera bahawa ketua perisikan Israel, David Barnea, akan mengetuai delegasi dan bertemu dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, sebelum permulaan pusingan baharu rundingan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Jumaat mengarahkan Barnea ke Qatar, selepas memberitahu Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, dalam panggilan telefon pada Khamis mengenai keputusan itu.
Namun, Netanyahu tetap berkeras bahawa perang di Gaza hanya akan berakhir selepas Israel ‘mencapai semua objektifnya’, kata pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan.
Ia menyusuli perkembangan Rabu lalu selepas selepas Hamas berkata ia membentangkan ‘idea’ baharu kepada pengantara Qatar, Mesir dan Turkiye mengenai cara mencapai gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tawanan.
Tambah Hamas, Ketua Biro Politiknya yang berpangkalan di Qatar, Ismail Haniyeh, sudah berhubung dengan negara pengantara di Qatar dan Mesir mengenai usaha mencapai persefahaman menamatkan perang.
Sementara itu, seorang pegawai AS memberitahu pemberita dalam panggilan pada hari Khamis bahawa Hamas telah ‘mengubah kedudukannya’ mengenai perjanjian yang berpotensi, tanpa mengulas lanjut.
Laporan menyatakan, ketika keyakinan baharu terhadap kemungkinan kejayaan rancangan itu, Netanyahu memanggil mesyuarat Kabinet keselamatannya pada lewat Khamis untuk membincangkan cadangan baharu Hamas itu.
Israel percaya puluhan tebusan masih hidup di Gaza dan dengan korban perang yang semakin meningkat di wilayah Palestin yang musnah, kedua-dua pihak menghadapi tekanan antarabangsa yang semakin memuncak bagi mencapai perjanjian.
Sumber yang mengetahui mengenai rundingan itu berkata, Barnea, yang mengetuai delegasi Israel ke Qatar itu sudah menghabiskan masa berbulan-bulan untuk cuba membawa dua pihak yang bermusuhan itu ke meja rundingan.
Rumah Putih memaklumkan, Biden memuji keputusan menghantar delegasi itu dalam perbualan telefon dengan Netanyahu dan mengalu-alukan keputusan meminta perunding Israel ‘terbabit’ dengan pengantara dalam usaha ‘memeterai perjanjian’.
Seorang pegawai kanan, berkata AS percaya Israel dan Hamas mempunyai ‘tawaran pembukaan yang agak bermakna’ untuk mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata dan pembebasan tebusan.
Pegawai itu, yang enggan dikenali, berkata cadangan Hamas itu ‘memajukan proses ke hadapan dan mungkin menyediakan asas untuk menutup perjanjian’, sambil menegaskan ia tidak bermakna perjanjian mungkin berlaku dalam beberapa hari akan datang, dan ‘kerja yang penting’ tetap perlu diteruskan.
Hamas menuntut perang dihentikan dan pengunduran Israel sebagai permulaan kepada sebarang perjanjian tebusan dan Israel membalas, perang tidak akan berakhir tanpa pembebasan tebusan.
Netanyahu juga berulang kali berikrar yang kempen Gaza tidak akan berakhir sehingga keupayaan tentera dan kerajaan Hamas dimusnahkan.
Qatar, Mesir dan AS menjadi pengantara antara kedua-dua pihak, dan sumber yang rapat dengan usaha itu, berkata mereka berusaha selama beberapa minggu untuk merapatkan ‘jurang’ antara musuh. – Berita Harian