Penyelidik Dunia Palestin Network, Ahmad Nu’man Mazlan telah menghadiri Persidangan Antarabangsa Al Sharq Youth ke-8 dengan tema “Beyond Borders – A New Order” yang berlangsung di Gaziantep, Turkiye, pada 26 dan 27 Oktober 2024.
Persidangan ini menghimpunkan ratusan pemimpin belia, akademik, dan penggiat media dari seluruh dunia Islam bagi membincangkan pelbagai isu penting dalam konteks geopolitik, hak asasi manusia, dan cabaran global semasa.
Dalam persidangan tersebut, Ahmad Nu’man berpeluang bertukar pandangan dengan pakar dan penceramah terkemuka, menyentuh pelbagai isu termasuk konflik Palestin-Israel, pembinaan naratif media yang berkesan, serta strategi komunikasi untuk menyalurkan suara masyarakat Palestin ke peringkat antarabangsa.

Beliau menyifatkan penyertaannya dalam persidangan ini sebagai peluang penting untuk mengukuhkan jaringan antarabangsa dan menimba perspektif baharu dalam usaha meningkatkan kesedaran global terhadap isu-isu Palestin.
“Al Sharq Youth memberikan platform yang luas untuk membincangkan dan mencari penyelesaian kolektif terhadap cabaran global. Ini penting dalam usaha memperkasakan belia sebagai ejen perubahan,” katanya.

Dengan penyertaan ini, Dunia Palestin Network berharap dapat memperkukuh peranan mereka dalam meluaskan pemahaman serta penceritaan mengenai isu Palestin di pentas dunia melalui hubungan strategik dan kerjasama antarabangsa. – Dunia Palestin