Resolusi terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut Israel menamatkan pendudukan di wilayah Palestin dalam tempoh 12 bulan menimbulkan persoalan apakah tempoh setahun itu tidak terlalu lama? Lebih penting lagi, tidakkah ia seolah-olah memberi ruang kepada rejim haram itu terus melancarkan serangan genosid terhadap Gaza, bahkan apakah jaminan Israel akan mematuhinya sedangkan berapa banyak resolusi badan dunia itu dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dilanggar atau tidak dipedulikan, sebaliknya terus bermaharajalela di wilayah didudukinya sejak 1967.
Sejarah membuktikan setiap detik diberikan kepada Israel hanya digunakan untuk memperluas penempatan haram, menghalau penduduk Palestin dan menindas lebih ramai rakyat berkenaan serta kini melakukan pembunuhan beramai-ramai, pengeboman keji bukan sahaja rumah kediaman, bahkan hospital, sekolah, masjid dan gereja. Bukankah bekas Perdana Menteri British, William Gladstone menyebut ‘keadilan tertangguh adalah keadilan dinafikan’, malah Martin Luther King Jr mengulanginya semula dalam Letter from a Birmingham Jail: ‘Keadilan ditangguhkan terlalu lama adalah keadilan dinafikan.’
Walaupun resolusi itu diluluskan dengan 124 negara anggota PBB menyokong dan delegasi Palestin menyifatkannya sebagai pencapaian ‘bersejarah’, kita khuatir Israel bukan sahaja mengambil kesempatan untuk meneruskan kejahatan dan keganasan itu, bahkan menunjukkan dunia tidak tegas memperjuangkan kedaulatan Palestin dan hak hidup serta asasi rakyat Palestin serta penduduk Gaza yang sebenarnya sebati dalam falsafah moden terutama Barat itu sendiri. Setiap hari berlalu selama 365 hari atau 8,760 jam atau 525,600 minit adalah ‘neraka dunia’ kepada orang awam terutama kanak-kanak, wanita dan golongan rentan kerana Israel seolah-olah ‘diberikan’ kompromi untuk menduduki, menindas, melanggar hak asasi manusia serta membunuh mereka.
Soalnya dalam senario berat sebelah dan sendeng terutama disebabkan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) serta Kesatuan Eropah (EU) mengalami korupsi nurani serius, apakah yang boleh dilakukan negara menyokong resolusi itu dan negara Timur serta Islam? Pertama, kita menuntut setiap negara terbabit tidak berdiam diri selepas resolusi ini diluluskan, sebaliknya terus mendesak melalui saluran diplomatik dan ekonomi untuk memastikan pendudukan serta keganasan Israel benar-benar ditamatkan, selain menghalau duta Israel dan melakukan sekatan perjalanan kepada pegawai tinggi negara haram berkenaan.
Kedua, negara menyalurkan bekalan senjata kepada Israel perlu diberikan tekanan dalam semua segi termasuk ekonomi melalui tindakan boikot dan diklasifikasikan sebagai negara bersubahat dalam tindakan genosid rejim Zionis. Kita bersetuju dengan kenyataan bekas diplomat Britain dan pejuang hak asasi, Craig Murray bahawa Barat bukan sahaja bersekongkol dalam genosid di Palestin, bahkan elit pemerintahnya sangat takut terhadap rakyat mereka hingga sanggup menindas warga negara sendiri untuk menunjukkan sokongan terhadap pembunuhan massa dilakukan Israel.
Ketiga, warga global perlu meneruskan usaha meningkatkan tekanan terhadap kerajaan masing-masing terutama yang masih bersubahat atau membisu supaya tidak berkompromi dalam isu kemanusiaan ini, melalui protes aman dan kempen boikot, selain memberikan sokongan kepada pemimpin mereka yang terus bersuara membela nasib Gaza dan Palestin serta mengkritik Israel termasuk apa dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Berita Harian