Palestin pada Khamis menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) agar mengeluarkan waran tangkap ke atas Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich susulan kenyataannya untuk membiarkan dua juta penduduk di Semenanjung Gaza maut akibat kebuluran, lapor Agensi Anadolu.
“Ini adalah pengakuan jelas tentang mengamalkan dan membanggakan dasar genosid,” kata Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan.
Smotrich pada Isnin berkata membiarkan dua juta orang di Gaza mati kelaparan mungkin “wajar dan bermoral.”
Kementerian Luar Palestin mengecam gesaan menteri Israel itu sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip asas kemanusiaan, cabaran jelas kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), serta langsung tidak mengendahkan keputusan legitimasi antarabangsa dan konsensus antarabangsa untuk melindungi orang awam dan menjamin keperluan asas kemanusiaan mereka.”
Kementerian itu turut menggesa ICC untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas Smotrich kerana menyokong hukuman kolektif terhadap orang awam Palestin.
Februari lepas, Amnesty International berkata bahawa Israel mengingkari keputusan ICJ untuk mencegah genosid dengan gagal membenarkan bantuan kemanusiaan yang mencukupi sampai ke Gaza.
Israel telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023, menyebabkan seluruh penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Hampir 40,000 penduduk Palestin telah terbunuh sejak itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 91,600 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. – Bernama