Malaysia menyokong penuh segala usaha untuk memastikan kekejaman terhadap penduduk Palestin di Gaza ditamatkan termasuk melalui penyelesaian dua negara.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, sokongan tersebut turut melibatkan persetujuan terhadap resolusi gencatan senjata yang dibawa Amerika Syarikat (AS) pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jun lalu.
Beliau menjelaskan, resolusi itu akan dilaksanakan menerusi tiga fasa iaitu gencatan senjata kekal, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pembebasan tebusan; pertukaran warga Palestin dan pengunduran penuh tentera Israel di Gaza serta pembinaan semula Gaza.
“Kita nak lihat cara mana untuk pastikan kekejaman dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin dapat dihentikan, atas platform apa sekalipun.
“Kita menyokong penuh usul dilakukan termasuk bermula Oslo Accord pada 1993 di Washington dan Taba, Mesir 1995 demi menyelesaikan isu Palestin.
“Malaysia menyokong apa juga usaha termasuk menyelesaikan konflik melalui penyelesaian dua negara,” katanya ketika Sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengenai hasrat kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan rakyat Palestin di Gaza.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, beliau telah bertemu dengan Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken bagi menyatakan sokongan kepada resolusi yang diusulkan.
“Saya juga tegaskan kepada Blinken untuk pastikan AS melaksanakan usul tersebut kerana mereka bersekutu dengan Israel.
“Tanggungjawab mereka untuk pastikan sekutu memenuhi dan mematuhi resolusi yang dibuat,” tegasnya. – Sinar Harian