Hamas: Para ulama diseru memimpin umat bagi melawan jenayah Zionis

Ketua Hamas di Gaza, Dr. Khalil al-Hayya menyeru para ulama agar tampil memimpin umat dalam melawan jenayah genosid dan kebuluran yang dilakukan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Dalam ucapannya pada Ahad, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab ilmuwan Islam amat besar ketika umat sedang berdepan dengan serangan sistematik yang menyasarkan wanita, kanak-kanak dan orang awam yang tidak berdosa.

“Wanita Gaza kini merintih dan menjerit meminta pertolongan. Mereka membawa periuk kosong, mencari sesuap makanan untuk anak-anak mereka dalam keadaan dihina dan dibunuh oleh musuh,” katanya.

“Amanah di bahu para ulama amat besar dan berat. Kami menyeru mereka agar memikul peranan sebenar dalam memimpin umat bagi menghadapi musuh penjenayah ini,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada inisiatif rakyat dunia yang bangkit menyuarakan solidariti, termasuk dari Yaman, Tunisia, Algeria dan Libya, melalui pelbagai usaha ketenteraan, kemanusiaan dan perarakan darat serta laut ke Gaza.

“Kami berdiri dengan penuh rasa bangga terhadap semua inisiatif ini. Mereka membuktikan bahawa dunia tidak bisu, dan bahawa tiada yang mustahil jika ada keazaman,” katanya.

Al-Hayya turut menyeru rakyat Jordan agar meneruskan kebangkitan rakyat, dan menggesa kepimpinan Mesir agar tidak membiarkan Gaza mati kelaparan di sempadan mereka.

“Gaza tidak akan tunduk kepada kebuluran. Kami menanti suara tegas Mesir untuk menamatkan penutupan Rafah yang telah dijadikan alat oleh rejim untuk membunuh dan menghina rakyat kami,” ujarnya.

Ucapan itu dilihat sebagai satu seruan langsung kepada para ilmuwan Islam agar menjadikan isu Gaza sebagai agenda utama umat dan menghimpunkan kekuatan umat Islam serta masyarakat antarabangsa bagi menghentikan jenayah Zionis yang berterusan. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

BDS Malaysia gesa kerajaan hentikan kerjasama dengan syarikat sokong Israel

Next Post

Kesyahidan Ismail Haniyeh

Related Posts