Kerajaan Malaysia digesa untuk menilai semula dan menggantung sebarang bentuk kerjasama perdagangan dengan syarikat antarabangsa yang terlibat dalam jenayah genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Pengerusi BDS Malaysia, Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail berkata kepada Dunia Palestin bahawa beberapa syarikat antarabangsa seperti Boeing, Lockheed Martin dan Caterpillar dilaporkan membekalkan senjata secara langsung kepada Israel, manakala Google, Microsoft dan Amazon Web Services (AWS) pula menyediakan sokongan teknikal termasuk kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan pengkomputeran awan kepada rejim Zionis.
Beliau turut memberi amaran bahawa Amazon Web Services (AWS) kini sedang berusaha mendapatkan projek baharu dengan kerajaan Malaysia.
“Adalah sangat membimbangkan apabila AWS yang terbabit dalam projek Nimbus bersama tentera dan kerajaan Israel kini ingin melebarkan operasi mereka di Malaysia.
“Melalui projek bernilai AS$1.2 bilion tersebut, AWS dan Google membekalkan teknologi yang digunakan untuk pengeboman di Gaza, pemantauan terhadap rakyat Palestin dan memperkukuh dasar apartheid Israel,” katanya.
“Kerajaan Malaysia sepatutnya memberi amaran keras kepada syarikat-syarikat ini bahawa sekiranya mereka terus membantu Israel melakukan jenayah genosid di Gaza, maka kerajaan akan menggantung atau menamatkan terus kerjasama perdagangan dengan mereka,” tegasnya.
Sebagai ahli The Hague Group, beliau berkata Malaysia harus menunjukkan contoh yang jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa negara ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana entiti yang bersubahat dengan jenayah genosid.
BDS Malaysia turut menyeru orang ramai untuk menyebarkan maklumat berkaitan keterlibatan AWS dan Google agar tekanan awam dapat dikenakan kepada kerajaan bagi menilai semula hubungan ekonomi dengan syarikat-syarikat terbabit. – Dunia Palestin