Kepimpinan Hamas akan terbabit sepenuhnya dalam memutuskan pemerintahan pasca perang di Gaza, bersama kumpulan Palestin lain tanpa membabitkan mana-mana pihak asing.
Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh berkata perbincangan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan bersama pimpinan parti lain di Palestin.
“Hamas akan terus kekal berada di sini dan hanya pergerakan ini bersama semua pihak berkepentingan lain di Palestin yang akan menentukan pemerintahan pasca perang di Gaza,” katanya melalui ucapan yang disiarkan di televisyen.
Ismail berucap sempena ulang tahun ke-76 ‘Nakbah’ atau ‘malapetaka’, bagi memperingati sejarah pahit apabila kira-kira 760,000 rakyat Palestin melarikan diri atau dihalau dari rumah mereka semasa pencerobohan Israel pada 1948.
Tambah Ismail, pihaknya turut mengakui masa depan rundingan gencatan senjata masih samar kerana kedegilan Israel untuk menakluki laluan Rafah dan memperluaskan pencerobohannya sejak serangan 7 Oktober lalu. – TV Pertiwi