Angka korban di Gaza melebihi 41,500, 39 lagi warga Palestin maut

Penduduk Palestin memeriksa kerosakan di kem pelarian Al-Maghazi selepas serangan Israel semalaman. – Foto AFP

Sekurang-kurangnya 39 lagi warga Palestin terbunuh dalam serangan tanpa henti oleh Israel di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sejak 7 Oktober 2023 mencecah 41,534 orang.

Agensi Anadolu, yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan di wilayah bergolak itu pada Khamis, turut melaporkan bahawa seramai 96,092 orang cedera dalam serangan yang masih berterusan.

“Tentera Israel membunuh 39 orang dan mencederakan 86 yang lain dalam empat pembunuhan beramai-ramai keluarga dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalanan kerana penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka,” kata kementerian itu.

Meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menyeru gencatan senjata segera, Israel terus melancarkan serangan tanpa henti di Semenanjung Gaza selama hampir setahun sejak 7 Oktober.

Serangan itu menyebabkan hampir seluruh penduduk wilayah berkenaan terpaksa berpindah, sementara sekatan yang masih berjalan mengakibatkan kekurangan bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang teruk.

Israel turut berdepan tuduhan melakukan genosid oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung tindakannya di Gaza. – Bernama/Anadolu

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Malaysia seru NAM perkukuh solidariti bersama Palestin

Next Post

Aktivis pro-Palestin ditahan di Perancis kerana ucapan “Intifada”

Related Posts