Sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam menegaskan bahawa sambutan Aidilfitri yang sebenar bagi rakyat Palestin hanya akan tiba apabila penderitaan mereka berakhir dan tanah air dibebaskan sepenuhnya.
Dalam satu kenyataan sempena Aidilfitri, kumpulan itu menyampaikan mesej kepada rakyat Palestin, menyifatkan mereka sebagai “mahkota di kepala” serta menekankan bahawa kegembiraan Aidilfitri hanya akan sempurna dengan pembebasan tahanan, Masjid al-Aqsa dan tempat suci umat Islam.

“Aidilfitri kita adalah ketika luka kalian disembuhkan, dan kezaliman terhadap kalian dihapuskan. Aidilfitri kita adalah pada hari pembebasan tahanan kita, Masjid al-Aqsa dan tempat-tempat suci kita. Aidilfitri kita adalah pada hari kepulangan kita, dan hijrah kita ke seluruh tanah air kita,” menurut kenyataan tersebut.
Briged Al-Qassam turut memperbaharui komitmen untuk terus berjuang demi kebebasan Palestin serta menegaskan bahawa perjuangan mereka tidak akan terhenti sehingga segala hak rakyat Palestin dikembalikan.
Sejak 7 Oktober 2023, Gaza terus menjadi medan pertempuran antara pejuang Palestin dan penjajah Israel, dengan ribuan nyawa terkorban serta kemusnahan besar berlaku di wilayah berkenaan. – Dunia Palestin