Penduduk Gaza terus berdepan penderitaan selepas lebih 400 hari perang, dengan Israel menyerang sebuah bangunan bertingkat di utara Beit Lahiya menempatkan penduduk yang dipindahkan secara paksa, menyebabkan sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin maut.
Ramai lagi mangsa dilaporkan masih tersepit dan terperangkap di bawah runtuhan kerana tentera Israel tidak membenarkan pasukan penyelamat dan paramedik memasuki kawasan berkenaan.
Operasi mencari dan menyelamat kini hanya dilakukan oleh penduduk setempat dan anggota Bulan Sabit Merah yang kebetulan berada di sana.
Sejak bulan lalu, tentera Israel menghalang pasukan Pertahanan Awam, perubatan, dan bantuan kemanusiaan daripada memasuki kawasan utara Gaza.
Serangan terbaharu itu berlaku selepas pembunuhan besar-besaran di mana sejumlah 111 orang di Gaza dilaporkan maut akibat bedilan tentera Israel Sabtu lalu.
Sementara itu, Ketua Gereja Katolik, Paus Francis, menggesa siasatan terhadap dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan buat kali pertama menggunakan ungkapan ‘genosid’ terhadap keganasan yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin.
Gesaan itu adalah kenyataan paling tegas dikeluarkan oleh beliau setakat ini mengenai tindakan Israel, seperti yang diterbitkan dalam petikan buku baharu beliau.

“Menurut beberapa pakar, apa yang berlaku di Gaza mempunyai ciri-ciri genosid,” kata beliau dalam petikan yang diterbitkan oleh akhbar harian Itali, La Stampa, semalam.
“Kita harus menyiasat secara teliti untuk menentukan sama ada ia memenuhi definisi teknikal yang dirumuskan oleh ahli undang-undang dan badan antarabangsa,” tambah beliau.
Buku yang ditulis oleh Hernan Reyes Alcaide itu bertajuk ‘Hope Never Disappoints: Pilgrims towards a Better World’ itu akan diterbitkan esok.
Beliau berkali-kali menyuarakan keprihatinan terhadap jumlah korban di Gaza, di mana angka kematian kini mencecah 43,846 orang, kebanyakannya adalah orang awam, menurut Kementerian Kesihatan wilayah berkenaan.
Perang di Gaza juga mencetuskan beberapa kes undang-undang di mahkamah antarabangsa di The Hague, termasuk permintaan untuk waran tangkap bagi tuduhan serta penafian jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, dan genosid.
Khamis lalu, sebuah Jawatankuasa Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menilai tindakan perang Israel di Gaza sebagai konsisten dengan ciri-ciri genosid.

Ia secara terbuka menuduh Israel itu menggunakan kelaparan sebagai kaedah perang, satu kesimpulan yang dikecam oleh sekutu utama regim Yahudi itu, Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menyambut baik gesaan Paus Francis untuk menyiasat tuduhan genosid terhadap Israel.
Pengarah Eksekutif Nasional CAIR, Nihad Awad berkata, pihaknya menyambut baik pendirian berprinsip Paus Francis dan menggesa pengikut beliau untuk mendengar seruannya, menetapkan pendirian dan menuntut keadilan serta akauntabiliti.
Awad turut meminta Presiden AS, Joe Biden, yang juga seorang penganut Katolik, untuk bertindak atas isu berkenaan.
Namun, tambah Awad, walaupun kenyataan Paus dialu-alukan, sebenarnya ia tidak perlu bagi membuktikan atau menyiasat sesuatu yang memang sudah jelas.
“Banyak badan PBB dan pertubuhan antarabangsa yang berwibawa menyimpulkan bahawa Israel sedang melakukan genosid. Apa yang diperlukan ialah tindakan global bersepadu untuk menghentikan genosid itu,” katanya. – Berita Harian