Dalam satu aksi berani, seorang pejuang Briged Al-Qassam berjaya menghampiri sebuah kereta kebal Israel jenis Merkava dan memusnahkannya dari jarak sifar menggunakan bom dalam pertempuran sengit di Gaza.
Kejadian itu dirakam dan dikongsi oleh media tentera Al-Qassam, yang menunjukkan detik pejuang tersebut menyelinap mendekati kereta kebal musuh sebelum meletakkan bahan letupan, menyebabkan letupan besar yang memusnahkan kenderaan tersebut sepenuhnya.
Serangan itu berlaku di tengah usaha berterusan Al-Qassam untuk menangkis pencerobohan tentera Israel di beberapa kawasan strategik di Gaza.
Menurut kenyataan media itu, tindakan berani tersebut adalah sebahagian daripada serangan balas yang menggunakan pelbagai taktik, termasuk roket anti-perisai dan mortar.
Selain kejadian itu, rakaman lain turut menunjukkan operasi pejuang Al-Qassam menyerang jentolak tentera dan kenderaan berat Israel di timur dan barat kem pelarian Jabalia menggunakan peluru berpandu Yasin 105 dan Tandem, menyebabkan kerosakan besar kepada peralatan musuh.
Dalam salah satu operasi lain, mereka juga berjaya merampas senjata MAG dari sebuah kereta kebal selepas menyerang dan menguasainya.
Sejak permulaan operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023, Al-Qassam melaporkan berjaya menawan dan membunuh ratusan askar Israel, di samping memusnahkan ratusan kenderaan dan peralatan perang mereka. – Dunia Palestin