Pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan menafikan dakwaan Israel bahawa Mohammad Deif, Panglima Briged Al-Qassam, telah dibunuh dalam serangan udara Israel ke atas Gaza.
Dalam temu bual pada Khamis dengan Associated Press (AP), Hamdan berkata Panglima Briged Al-Qassam tersebut berada dalam keadaan “baik” selepas Israel mendakwa telah membunuhnya dalam serangan udara pada 13 Julai.
Ini adalah kali pertama seorang pegawai kanan Hamas menjawab pengakuan Israel berkaitan pembunuhan Deif, yang dibuat pada 1 Ogos.
Hamdan berkata Hamas percaya Israel mendakwa Deif menjadi sasaran serangan Julai untuk “mewajarkan pembunuhan beramai-ramai” pada hari itu.
88 rakyat Palestin terbunuh dan sekurang-kurangnya 289 yang lain cedera dalam serangan udara Israel pada hari itu, menurut Kementerian Kesihatan Palestin, ketika bom Israel menyasarkan khemah yang menempatkan orang yang kehilangan tempat tinggal di zon kemanusiaan al-Mawasi di Khan Younis, selatan Gaza.
Hamdan juga menuduh Israel meningkatkan serangan ke atas pemimpin Hamas berikutan penerimaan awal kumpulan itu terhadap cadangan gencatan senjata baru-baru ini. – Quds News