Pihak berkuasa keselamatan Yaman membongkar rangkaian pengintipan besar yang bekerja untuk Amerika Syarikat (AS) dan Israel di tengah-tengah kempen ketenteraan negara Arab itu untuk menyokong penduduk Gaza.
Ketua Perkhidmatan Keselamatan dan Perisikan Yaman, Mejar Jeneral Abdul Hakim Hashem Al-Khaiwani mendedahkan, kumpulan pengintipan itu aktif dalam pelbagai jabatan kerajaan di negara itu sejak lapan tahun lalu.
“Rangkaian yang terdedah mengumpul maklumat penting dalam pelbagai bidang dan menjalankan operasi teknikal pengintipan bagi pihak perkhidmatan risikan musuh untuk mendapatkan maklumat sulit dan berdaulat,” kata Khaiwani dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.
Rangkaian pengintipan yang diketuai AS-Israel itu didakwa telah merekrut pegawai dalam kerajaan Yaman untuk mempengaruhi pembuat keputusan dan menyusup ke agensi negara.
Perisik juga menjalankan operasi untuk menyebarkan penyakit di Yaman dengan menyasarkan sistem kesihatan dan mempromosikan rasuah moral untuk menjejaskan sistem pendidikan di negara itu.
Rangkaian itu telah memberikan risikan kepada tentera AS dan Israel untuk membantu mereka menyerang infrastruktur Yaman yang digunakan untuk menyasarkan kapal-kapal yang berkaitan dengan Israel dan AS di perairan serantau.
Pembongkaran itu berlaku ketika Yaman sedang menjalankan beberapa siri operasi ketenteraan yang meluas terhadap Israel, AS dan Britain sebagai sebahagian daripada kempen untuk menyokong penduduk Gaza menghadapi pencerobohan Israel.
Yaman mula menyasarkan kapal berkaitan Israel dan pelabuhan Israel pada bulan November tetapi serangan dron dan peluru berpandu telah menyasarkan kapal AS dan British.
Ini susulan kedua-dua negara melancarkan serangan udara ke atas Yaman bagi memaksa menghentikan operasi anti-Israelnya. – Ismaweb