Pelapor khas PBB bagi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang dijajah, Francesca Albanese, telah mempertahankan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, sebagai sebuah kekuatan politik yang memenangi pilihan raya demokratik pada 2006 dan bertindak sebagai “pihak berkuasa de facto” di Semenanjung Gaza.
“Hamas adalah sebuah kekuatan politik yang memenangi pilihan raya 2006, sama ada kita suka atau tidak,” kata Francesca Albanese dalam satu video yang dikongsi di platform media sosial X.
Albanese menyifatkan pilihan raya Palestin 2006 yang dimenangi Hamas sebagai “pilihan raya paling demokratik (di Palestin).”
Beliau menyatakan bahawa Hamas telah membangunkan sebuah sistem pentadbiran di Gaza yang merangkumi sekolah, kemudahan awam dan hospital.
“Ia hanyalah apa yang kita panggil pihak berkuasa, secara teknikalnya pihak berkuasa de facto.”
Albanese menegaskan bahawa “apabila anda memikirkan tentang Hamas, anda tidak semestinya membayangkan orang yang menyembelih, bersenjata berat atau pejuang. Itu bukanlah hakikatnya.”
Pada Januari 2006, Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin mengumumkan bahawa Hamas telah menyapu bersih pilihan raya parlimen dengan memenangi 76 daripada 132 kerusi Majlis Perundangan Palestin.
Selepas kemenangan Hamas, Israel telah mengenakan sekatan ke atas Semenanjung Gaza melalui darat, laut dan udara yang berterusan hingga ke hari ini. – Anadolu