Tindakan seorang jurutera perisian Microsoft, Ibtihal Aboussad yang secara terbuka mengecam syarikat tempat beliau bekerja atas keterlibatan mereka dalam serangan genosid Israel ke atas Gaza dianggap sebagai satu bentuk jihad.
Penyelidik Dunia Palestin, Ahmad Nu’man Mazlan berkata, tindakan Ibtihal bukan sekadar suatu bentuk protes, sebaliknya mencerminkan keberanian luar biasa dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.
“Apa yang dilakukan oleh Ibtihal Aboussad, seorang pekerja Microsoft yang secara berani dan terbuka mengecam Microsoft atas keterlibatan mereka dalam genosid Israel di Gaza bukanlah sekadar suatu protes, tetapi ia adalah jihad yang mulia.
“Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya jihad yang paling utama ialah menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim’,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut Nu’man, keberanian seperti itu wajar dijadikan inspirasi kepada lebih ramai pekerja syarikat multinasional serta individu di seluruh dunia untuk menzahirkan pendirian terhadap kezaliman yang berlaku di Gaza.
Lebih 50,700 rakyat Palestin telah dibunuh di Gaza dalam serangan kejam oleh Israel sejak Oktober 2023, kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. – Dunia Palestin