Gelombang kedua letupan peranti sasar ‘walkie-talkie’ Hizbullah

Letupan peranti berlaku ketika pengebumian pejuang Hizbullah di Lubnan, semalam. – Media sosial/via REUTERS

Gelombang kedua letupan peranti telah membunuh sekurang-kurang 20 mangsa dan mencederakan lebih 450 lagi di kubu Hizbullah di Lubnan, semalam, sekali gus meningkatkan kebimbangan bakal tercetus perang habis-habisan dengan Israel.

Menurut sumber rapat dengan Hizbullah, ‘walkie-talkie’ digunakan anggota-anggota kumpulan itu meletup di Beirut, manakala media negara ini melaporkan kejadian serupa turut berlaku di selatan dan timur Lubnan.

Rakaman AFPTV menunjukkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila letupan berlaku ketika pengebumian pejuang Hizbullah di selatan Beirut pada sebelah tengah hari.

“Gelombang letupan dilakukan pihak musuh yang menyasarkan ‘walkie-talkie’ telah menyebabkan sekurang-kurang 20 terkorban dan lebih 450 cedera,” kata Kementerian Kesihatan Lubnan dalam satu kenyataan.

Kejadian itu menyusul sehari selepas beratus-ratus alat keloi yang digunakan pejuang Hizbullah, meletup serentak sehingga membunuh sekurang-kurang 12 mangsa termasuk dua kanak-kanak, selain mencederakan 2,800 lagi di seluruh Lubnan dalam serangan kali pertama seumpamanya dengan Israel disyaki sebagai dalangnya.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Israel berhubung kejadian letupan terbabit. Namun beberapa jam sebelum serangan kelmarin, rejim Zionis mengumumkan mereka kini memperluaskan sasaran perangnya dengan Hamas di Gaza dengan turut menentang Hizbullah yang juga sekutu kumpulan pejuang itu.

“Kita sedang berada pada permulaan fasa baharu peperangan,” kata Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, ketika melawat sebuah pangkalan udara, semalam.

Hingga kini, pegawai Israel kekal membisu mengenai serangan letupan peranti berkenaan yang menjadi tajuk utama berita media cetak dan elektronik.

Amos Harel daripada akhbar Haaretz yang berhaluan kiri, berkata serangan letupan alat keloi dan ‘walkie-talkie’ itu telah meletakkan ‘Israel dan Hizbullah di ambang perang habis-habisan.’

Sementara itu, Rumah Putih memberi amaran kepada semua pihak terbabit supaya ‘tidak meningkatkan lagi ketegangan dalam apa juga bentuk.’

“Kami sama sekali tidak percaya bahawa jalan penyelesaian krisis yang sedang berlaku kini ialah dengan menambah operasi ketenteraan,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby, kepada pemberita. – Berita Harian

Orang ramai berkumpul di perkarangan Pusat Perubatan Universiti Beirut Amerika (AUBMC) di Beirut, berikutan letupan alat kelui di beberapa bandar di Lubnan. – Foto REUTERS

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Perang ke atas Gaza mendedahkan fasisme Israel dan Barat

Next Post

PBB lulus resolusi gesa penamatan pendudukan Israel dalam tempoh setahun

Related Posts