GSPP: Malaysia perlu berpendirian tegas sokong hak Hamas pertahan Palestin

Malaysia disaran menyatakan pendirian tegas menyokong hak Hamas untuk mempertahankan rakyat Palestin serta membebaskan tanah air mereka melalui kekuatan senjata, menurut Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.

Beliau berkata, kenyataan tegas perlu dikeluarkan oleh pemimpin negara agar tidak tunduk kepada desakan dan naratif negara-negara yang menyokong Israel, terutama dalam isu perlucutan senjata sebelah pihak.

“Tidak perlulah fikir panjang. Ini perkara yang jelas mengikut neraca apa pun – neraca agama, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa,” katanya sambil menyatakan kekesalan terhadap beberapa negara Islam yang menurut kehendak Israel dalam menekan Hamas supaya melucutkan senjata.

Tambah beliau, sikap berani yang ditunjukkan oleh negara-negara seperti Afrika Selatan dan beberapa negara Barat seharusnya menjadi contoh kepada Malaysia dalam memperjuangkan keadilan untuk Palestin.

Mengulas resolusi antarabangsa yang baru-baru ini dicadangkan oleh beberapa negara, yang antaranya menekan Hamas agar melucutkan senjata sebagai syarat menghentikan perang, beliau menegaskan bahawa cadangan itu hanya bersifat sebelah pihak dan berat sebelah.

Menurutnya, sejak awal penubuhan entiti haram Israel, kekuatan senjata telah digunakan untuk menjajah dan menindas rakyat Palestin.

“Israel ditubuhkan secara haram dengan kekuatan senjata. Tanpa perang, tiadalah Perjanjian Sykes-Picot, Deklarasi Balfour, Liga Bangsa dan PBB – semuanya berkait rapat dengan kewujudan Israel,” katanya.

Beliau turut membangkitkan fakta sejarah bahawa antara 1917 hingga 1948, pendatang Yahudi diberikan latihan ketenteraan dan senjata oleh British, termasuk pembentukan pasukan bersenjata Haganah, yang kemudiannya digunakan untuk menghalau dan membunuh rakyat Palestin semasa peristiwa Nakbah.

Ustaz Fauzi turut menyentuh bagaimana Israel terus memperkukuh sistem persenjataan mereka melalui pelbagai teknologi, termasuk senjata kimia, sistem perisikan moden, AI serta media, berbanding negara-negara Islam yang ditekan untuk melucutkan senjata melalui pelbagai perjanjian seperti Camp David dan Oslo.

“PLO yang dahulu merupakan kumpulan jihad bersenjata Fatah juga akhirnya melucutkan senjata kerana percaya kepada penyelesaian dua negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Hamas dan sekutu-sekutunya kini menjadi satu-satunya ancaman kepada Israel kerana mereka tidak tunduk kepada desakan untuk melucutkan senjata.

“Yang menghairankan adalah kenapa pemimpin negara umat Islam bersetuju dengan perlucutan senjata Hamas, sedangkan jelas sekali Israel terus mempersenjatai diri,” katanya.

Mengakhiri kenyataannya, beliau memetik bait puisi Arab yang menegaskan bahawa jalan dakwah ialah jihad, dan jika ia hilang, maka hilanglah maruah tanah air. – Dunia Palestin

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas: Senjata pejuang adalah hak sah selagi penjajahan berterusan

Next Post

Malaysia dan negara Selatan Global diseru bantu mempersenjatai Palestin

Related Posts