Ketua Biro Politik Hamas, Dr Khalil al-Hayya memberi amaran keadaan kemanusiaan di Gaza semakin buruk susulan peningkatan serangan Israel dan sekatan terhadap kemasukan keperluan asas ke wilayah itu.
Hamas dalam satu kenyataan berkata al-Hayya mengadakan komunikasi intensif dengan pihak pengantara berhubung perkembangan terbaharu di Gaza, termasuk serangan terhadap rakyat Palestin serta kejadian runtuhan bangunan yang rosak dan mengorbankan nyawa.
Tindakan Israel yang terus menghalang kemasukan jentera berat, karavan, khemah perlindungan dan bekalan musim sejuk menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa berlindung dalam keadaan tidak selamat.
Al-Hayya turut menyampaikan mesej kepada beberapa negara sahabat dan saudara mengenai serangan dan pembunuhan yang berterusan di Gaza, selain pelanggaran di Tebing Barat dan Masjid al-Aqsa.
Beliau memberi amaran perkembangan berkenaan menjejaskan peluang untuk mencapai ketenangan serta menghalang pelaksanaan komitmen di bawah rancangan Presiden Donald Trump.
Al-Hayya menggesa pihak pengantara dan pihak berkaitan supaya menekan Israel mematuhi terma fasa pertama gencatan senjata, termasuk menghentikan pembunuhan serta membenarkan kemasukan segera dan tanpa sekatan jentera berat, peralatan menyelamat dan keperluan musim sejuk.
Sementara itu, pihak pengantara mengesahkan kepada Hamas bahawa mereka akan meneruskan usaha bantuan dan berusaha memastikan pelaksanaan perjanjian tersebut diteruskan. – Dunia Palestin