Israel menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meninjau tanah milik rakyat Palestin di Tebing Barat dan mempercepatkan pengusiran paksa, menurut penyelidik serta aktivis hak asasi yang dipetik Al Jazeera.
Memetik media Turki, PalDigital, laporan itu mengenal pasti ImiSight, sebuah sistem yang dibangunkan oleh pengeluar senjata Israel, Rafael, sebagai antara teknologi utama yang digunakan untuk mengesan perubahan pada landskap sebelum maklumat tersebut digunakan pihak berkuasa bagi mengeluarkan arahan perobohan.
Sistem berkenaan pada mulanya digunakan terhadap warga Palestin Badwi di Naqab dan dilaporkan membantu membolehkan pengusiran lebih 2,600 orang.
Pakar teknologi Palestin, Khaled Safi, memberitahu Al Jazeera bahawa satelit generasi baharu kini mampu memproses imej menggunakan AI ketika masih berada di orbit, sekali gus berfungsi sebagai “terminal pengkomputeran tepi di angkasa” dan mengurangkan kelewatan yang sebelum ini memerlukan semakan manusia.
Kumpulan hak asasi Israel, Peace Now dan Kerem Navot, mendokumentasikan peningkatan 80 peratus dalam perobohan di seluruh Kawasan C dan Baitulmaqdis Timur antara 2023 hingga 2025 berbanding dekad sebelumnya.
Dalam tempoh Januari hingga September 2025 sahaja, sebanyak 1,288 struktur milik Palestin dilaporkan dimusnahkan.
Amir Daoud daripada Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok menyifatkan perubahan itu sebagai “satu langkah ke arah pengilhakan”, dengan mengatakan ia memperkenalkan “aparatus kerajaan awam Israel secara langsung ke dalam wilayah yang diduduki.”
Safi memberi amaran mengenai risiko etika sekiranya manusia disingkirkan sepenuhnya daripada proses membuat keputusan tersebut. Menurutnya, penggunaan automasi membolehkan tanggungjawab “dipindahkan sama ada kepada algoritma, institusi atau entiti lain yang tidak diketahui.”
Al Jazeera berkata pihaknya telah menghubungi tentera Israel dan ImiSight untuk mendapatkan ulasan, namun kedua-duanya belum memberikan maklum balas. – Dunia Palestin