Beberapa bulan lalu, ketika berlangsungnya Piala Dunia, dunia menyaksikan satu peristiwa kecil tetapi cukup menggambarkan keadaan sebenar. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menghubungi FIFA dan menuntut agar seorang pemain bola sepak Amerika, Folarin Balogun, dibenarkan beraksi meskipun terdapat larangan yang jelas terhadapnya.
FIFA akur dan peraturan diubah dalam sekelip mata. Hanya dengan satu panggilan telefon dan demonstrasi pengaruh politik, undang-undang seolah-olah tidak lagi berkuat kuasa apabila berhadapan dengan kuasa empayar.
Malangnya, begitulah cara kuasa berfungsi dalam dunia hari ini. Peraturan menjadi sangkar besi bagi golongan yang lemah, tetapi sekadar cadangan bagi mereka yang berkuasa. Jika mahu melihat prinsip ini terpahat dengan darah, lihat sahaja tiga tahun genosid yang dilancarkan Israel terhadap Gaza.
Namun, mengukur tiga tahun ini hanya berdasarkan runtuhan bangunan dan jumlah korban merupakan satu kesilapan. Titik perubahan besar dalam sejarah tidak diukur berdasarkan siapa yang menguasai sesuatu bukit ketika matahari terbenam. Sebaliknya, ia diukur berdasarkan perubahan yang dibawanya terhadap kehidupan dan pemikiran manusia yang masih hidup.
Apa yang difahami dengan Jelas oleh Fanon dan rakyat Gaza
Frantz Fanon, seorang doktor dari Martinique yang menyaksikan sendiri penjajahan di Algeria pada 1950-an, menulis dalam karya agungnya, The Wretched of the Earth, bahawa penjajahan “bukanlah sebuah mesin yang mampu berfikir atau tubuh yang dikurniakan akal. Ia merupakan keganasan secara terang-terangan dan hanya akan mengalah apabila berhadapan dengan keganasan yang lebih besar.”
Inilah teras analisis terhadap keadaan rakyat Palestin. Penjajahan bukan suatu proses rundingan. Ia bukan salah faham antara dua pihak yang setara. Sebaliknya, ia merupakan tindakan satu bangsa merampas tanah, rumah dan masa depan bangsa lain melalui kekerasan.
Dalam keadaan sedemikian, rakyat yang dijajah tidak memilih penentangan sebagai satu kecenderungan politik. Mereka menentang kerana pilihan selain itu bermakna mereka akan dihapuskan.
Fanon dibaca secara meluas di seluruh negara-negara Selatan Global atas sebab tertentu. Analisisnya terhadap keadaan masyarakat yang dijajah bukan ditulis khusus untuk Algeria sahaja, tetapi untuk setiap bangsa yang diberitahu bahawa penderitaan mereka merupakan harga yang perlu dibayar demi tamadun pihak lain. Tiada siapa yang lebih memahami perkara ini berbanding rakyat Palestin, khususnya penduduk Gaza.
Gaza tidak meletus pada 7 Oktober 2023 tanpa sebab. Wilayah itu telah sekian lama dihimpit sekatan selama beberapa dekad sehingga kehidupan menjadi hampir mustahil, sebagaimana diakui oleh hampir seluruh dunia, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Gaza turut berdepan serangan bom secara berkala dan kejam yang digelar oleh jeneral Israel sebagai strategi “memotong rumput” (mowing the lawn). Penduduknya juga menyaksikan dengan penuh kehairanan apabila dunia menandatangani perjanjian perdagangan dengan pihak yang menjajah mereka, sedangkan anak-anak Gaza dibiarkan kelaparan.
Apa yang berlaku pada hari tersebut bukanlah mencipta sebuah Israel yang baharu. Sebaliknya, ia menyingkap topeng sebenar sebuah projek penjajahan peneroka yang kejam, yang sejak awal penubuhannya telah membawa benih-benih genosid.
Mereka yang pergi memberikan kita kehidupan
Selepas tiga tahun, angka korban seolah-olah menjadi bunyi latar yang tidak lagi mengundang perhatian. Seluruh keluarga yang terdiri daripada datuk, nenek, ibu bapa dan cucu telah dipadamkan daripada daftar penduduk sivil. Mereka bukan sekadar dibunuh, malah turut dihapuskan daripada rekod kewujudan.
Universiti telah menjadi debu. Hospital dikepung dan dikosongkan daripada kehidupan. Ini bukan kekacauan akibat peperangan. Sebaliknya, ia merupakan usaha sistematik untuk meruntuhkan sebuah masyarakat, yang dilaksanakan menggunakan bom dan peluru yang dibekalkan oleh negara-negara Barat sendiri, iaitu pihak yang berulang kali menghalang setiap usaha untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan di Majlis Keselamatan PBB.
Kemunafikan ini bukan lagi disembunyikan. Sebaliknya, ia dipertontonkan secara terbuka, seolah-olah sengaja mencabar dunia.
Lebih 75,000 rakyat Palestin telah dibunuh di hadapan mata seluruh dunia. [Jumlah ini belum termasuk lebih 9,000 lagi insan tidak berdosa yang dibunuh tanpa belas kasihan oleh jentera perang Israel di seluruh rantau ini.]
Antara ribuan mangsa tidak berdosa tersebut ialah rakan sekerja kami yang dikasihi, Dr. Muhammad Jameel, yang pernah bekerja bersama kami di Asia Middle East Center (AMEC) di Malaysia sebelum pulang ke tanah airnya.
Pada Ogos 2023, beliau kembali ke Gaza selepas menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD). Namun, beliau dibunuh pada Oktober 2023 dalam serangan udara Israel yang menyasarkan rumahnya. Serangan tersebut turut mengorbankan 22 anggota keluarga terdekatnya. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Pembunuhan rakyat Palestin turut merebak ke luar Gaza apabila jentera perang Israel menyasarkan rakyat Palestin dan sekutu mereka di seluruh Tebing Barat yang diduduki serta wilayah lain.
Israel sengaja menyasarkan pemimpin-pemimpin muqawamah dengan membunuh mereka seorang demi seorang. Saleh al-Arouri dibunuh di Beirut, Ismail Haniyeh dibunuh di Tehran, manakala Yahya Sinwar terbunuh ketika bertempur di tengah-tengah runtuhan Rafah.
Pemimpin-pemimpin muqawamah Lubnan, Yaman dan Iraq turut menjadi sasaran pembunuhan.
Koloni imperialis kecil ini langsung tidak menghormati kedaulatan mana-mana negara apabila membunuh pemimpin rakyat Palestin di Gaza, Beirut dan Tehran.
Namun, kesemua mereka gugur ketika mempertahankan rakyat masing-masing. Ada yang gugur di medan perang, manakala yang lain berjuang di medan advokasi antarabangsa. Mereka tidak melarikan diri dan tidak pernah berunding untuk mendapatkan laluan selamat bagi diri sendiri. Mereka hidup dan gugur bersama rakyat yang dipimpin.
Perkara ini amat penting kerana ia membantu menjelaskan mengapa sokongan terhadap penentangan masih kekal meskipun berdepan segala penderitaan.
Pembunuhan tidak terhenti setakat pemimpin muqawamah. Rejim Israel turut menyasarkan golongan intelektual dan profesional Palestin daripada pelbagai bidang.
Ribuan guru sekolah dan ratusan profesor universiti dibunuh oleh tentera udara Israel. Doktor dan jururawat dibunuh atau diculik, manakala wartawan menjadi sasaran khusus sehingga ratusan daripada mereka terkorban.
Israel terus melakukan lebih banyak jenayah bagi menutup jejak jenayah yang telah dilakukannya sebelum ini.
Dalam tempoh beberapa hari selepas bermulanya kempen ketenteraan Israel, semakin jelas kepada seluruh dunia bahawa Israel berhasrat melakukan genosid.
Penyair dan ahli akademik Palestin, Dr. Refaat al-Areer, yang banyak menulis dan berkongsi di media sosial mengenai kekejaman Israel, pernah memberitahu media dalam salah satu wawancara terakhirnya:
“Saya berharap saya seorang pejuang kebebasan agar dapat melawan tentera Israel yang menyerang. Namun, kerana saya tidak memiliki senjata, saya akan menggunakan apa sahaja yang mampu dipegang oleh tangan saya untuk melawan. Saya tidak akan menyerah kalah, walaupun perkara terakhir yang saya lakukan hanyalah membaling sebatang pen ke arah tentera penceroboh.”
Refaat telah dibunuh, namun rakyatnya, sebagaimana dirinya, tidak pernah menyerah kalah.
Selepas tiga tahun, seluruh dunia terus menyaksikan bagaimana sebuah bangsa yang miskin dan dikepung mampu menafikan kemenangan kepada sebuah negara kuasa nuklear yang lengkap bersenjata.
Segala-galanya adalah hasil keberanian dan ketabahan rakyatnya serta sokongan dan solidariti yang tidak pernah putus daripada sahabat-sahabat mereka.
Sebuah bangsa kembali daripada pinggiran
Sebelum Oktober 2023, isu Palestin seolah-olah sedang diketepikan secara perlahan-lahan.
Perjanjian Abraham sedang membentuk sebuah Timur Tengah baharu, yang membolehkan hubungan normalisasi dengan pihak penjajah diteruskan tanpa perlu menamatkan penjajahan.
Netanyahu berdiri tanpa rasa malu di hadapan Perhimpunan Agung PBB dan mengisytiharkan dengan angkuhnya bahawa Palestin tidak lagi relevan.
Rakyat Palestin telah direndahkan martabat sekadar kepada wajah pada kad UNRWA, penerima bantuan dan mangsa yang hanya layak dikasihani, tetapi tidak diiktiraf sebagai pelaku politik yang mempunyai hak menentukan masa depan sendiri.
Namun, zaman tersebut kini telah berakhir!
Tiga tahun kemudian, Palestin kembali menjadi tumpuan dalam kesedaran moral masyarakat dunia. Rakyat Palestin kembali dilihat sebagai bangsa yang mencipta sejarah, bukan sekadar bangsa yang menanggung penderitaan sejarah.
Dunia mungkin tidak bersetuju dengan kaedah yang digunakan, tetapi dunia tidak lagi boleh berpura-pura bahawa rakyat Palestin tidak wujud sebagai satu kekuatan yang mempunyai peranan tersendiri.
Naratif dunia lama telah runtuh
Rejim Israel dibina atas pelbagai mitos, antaranya:
- Warga Israel kononnya merupakan mangsa yang sentiasa dizalimi.
- Israel kononnya tempat perlindungan yang selamat bagi bangsa Yahudi.
- Israel kononnya satu-satunya negara demokrasi di Timur Tengah.
- IDF kononnya tentera yang tidak mungkin dikalahkan.
- Israel kononnya memperjuangkan keamanan, manakala rakyat Palestin dilabel sebagai “pengganas”.
Selepas tiga tahun rakaman kekejaman dari Gaza tersebar, tiada satu pun mitos ini mampu bertahan.
Semua mitos tersebut telah dihancurkan bukan melalui propaganda, tetapi melalui bukti nyata yang terus disebarkan dari sebuah wilayah yang dikepung, menggunakan kamera telefon bimbit.
Sesuatu yang lebih mendalam turut berlaku. Bahasa yang digunakan dunia untuk membincangkan perjuangan ini juga telah berubah.
Selama beberapa dekad, Israel memaksakan kamusnya sendiri kepada dunia. Isu ini digambarkan sebagai satu “konflik” antara dua pihak yang setara, penjajahan dilabel sebagai “mempertahankan diri”, manakala rakyat Palestin pula hanya dianggap sebagai “pelarian” atau “pengganas”.
Kini, istilah yang dahulunya hanya terhad kepada nota kaki dalam penulisan akademik telah memasuki perbincangan global, antaranya genosid, penjajahan pendatang, aparteid, pembersihan etnik dan kebertanggungjawaban.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memutuskan bahawa terdapat asas yang munasabah bagi dakwaan berlakunya genosid.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pula telah mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin-pemimpin Israel. Tindakan ini disambut dengan kempen tekanan hebat oleh Amerika Syarikat, termasuk ancaman dan sekatan terhadap pegawai-pegawai mahkamah tersebut.
Mesej daripada Washington cukup jelas: undang-undang antarabangsa tidak boleh menyentuh sekutu kami.
Namun, waran tangkap tersebut tetap diteruskan.
Ini bukan sekadar dokumen perundangan. Ia merupakan satu kosa kata baharu. Dalam pertarungan merebut pengaruh melalui bahasa dan naratif, Zionis telah kehilangan cengkamannya.
Kemusnahan Gaza bukan sahaja mendedahkan wajah sebenar Israel, malah turut mendedahkan keseluruhan sistem yang melindunginya.
Ketertiban undang-undang antarabangsa kini terbukti sebagai alat yang digunakan secara terpilih, dikuatkuasakan terhadap musuh tetapi diketepikan apabila melibatkan sekutu.
Institusi-institusi keadilan utama dunia memperlihatkan bagaimana mekanisme penguatkuasaan mereka hilang apabila sebuah negara berkuasa memutuskan untuk melindungi sekutunya.
Dakwaan kuasa-kuasa Atlantik mengenai ketamadunan, termasuk komitmen mereka terhadap hak asasi manusia sejagat, keadilan dan kedaulatan undang-undang, akhirnya terbukti sekadar cerita yang mereka ceritakan kepada diri sendiri, bukannya prinsip yang benar-benar mereka amalkan.
Kini, terdapat tiga perkara yang tidak lagi boleh dipertikaikan.
Pertama, mitos bahawa tentera Israel tidak boleh dikalahkan telah hancur. Sebuah wilayah kecil yang lebih kecil daripada kebanyakan bandar, berada di bawah sekatan menyeluruh, telah bertahan selama tiga tahun menentang sebuah negara yang memiliki senjata nuklear.
Kedua, penglibatan dan sokongan negara-negara Barat terhadap jenayah Israel bukan lagi sekadar tuduhan. Ia telah menjadi rekod awam yang didokumentasikan secara jelas dan disengajakan, termasuk penghantaran senjata, penggunaan kuasa veto diplomatik dan perkongsian risikan.
Ketiga, rakyat Palestin tidak pernah tunduk. Mereka telah kehilangan lebih banyak daripada apa yang sepatutnya ditanggung oleh mana-mana bangsa. Namun, mereka tetap berada di tanah air sendiri. Mereka terus tersusun dan teratur. Jutaan rakyat Palestin masih berpegang teguh, malah semakin yakin, bahawa pembebasan adalah sesuatu yang mungkin dicapai.
Ini bukan soal kepercayaan tanpa asas. Sebaliknya, ia merupakan pengalaman terkumpul sebuah bangsa yang memahami, sebagaimana difahami oleh Fanon, bahawa bagi masyarakat yang dijajah, menyerah kalah hanyalah satu bentuk kematian yang berlaku secara perlahan-lahan.
Medan perjuangan baharu
Perubahan paling penting sepanjang tiga tahun ini ialah peralihan medan perjuangan daripada medan perang kepada arena kedudukan moral dan perundangan.
Israel mungkin memperoleh beberapa kejayaan taktikal di medan pertempuran, tetapi sebenarnya sedang kalah dalam peperangan ini.
Penilaian ini bukan hanya pandangan kami. Ia turut dikongsi oleh jeneral dan pakar ketenteraan Israel sendiri, termasuk bekas Ketua Shin Bet, Ami Ayalon, yang baru-baru ini menyatakan secara jelas:
“Israel memenangi pertempuran, tetapi kalah dalam peperangan.”
Israel telah kehilangan sesuatu yang jauh lebih sukar untuk diperoleh semula berbanding kemenangan dalam pertempuran, iaitu imejnya, mitos penubuhannya dan kepura-puraan bahawa sebuah projek penjajahan pendatang yang tertutup serta eksklusif mampu menghasilkan kestabilan yang berkekalan.
Rupa-rupanya, masa tidak secara automatik menjadikan penaklukan sebagai sesuatu yang sah. Ingatan mereka yang dirampas haknya boleh menjadi lebih kuat daripada peredaran masa. Sejarah juga bukan hanya ditulis oleh pihak yang menang, tetapi turut ditulis melalui perkara yang enggan dilupakan oleh mereka yang kalah.
Pencapaian paling penting hasil keteguhan rakyat Palestin ialah perubahan nyata dalam pendapat masyarakat dunia.
Sesiapa yang mengikuti tinjauan pendapat di Amerika Syarikat dapat melihat bahawa generasi baharu, sama ada di sayap kiri mahupun kanan politik, semakin melihat Israel sebagai punca utama permasalahan, bukannya sekadar salah satu pihak dalam konflik.
Generasi ini memahami bahawa faktor paling penting yang menjamin kelangsungan dan kekuatan Israel ialah sokongan membuta tuli Amerika Syarikat, dan sokongan tersebut kini mula berakhir.
Perubahan ini tidak terhad kepada Amerika Syarikat sahaja.
Di Eropah Barat, desakan supaya Israel dipertanggungjawabkan semakin meningkat. Negara-negara yang selama beberapa dekad meminggirkan suara rakyat Palestin kini berada di barisan hadapan dalam mendesak pengiktirafan sebuah negara Palestin.
Dunia sedang berubah. Di negara-negara Selatan Global, solidariti terhadap Palestin sememangnya telah lama menjadi pendirian umum.
Kepimpinan Afrika Selatan dalam bidang perundangan mencerminkan sentimen dan aspirasi seluruh negara-negara Selatan Global.
Ini bukan sekadar tindakan simbolik daripada sebuah negara yang memahami bagaimana undang-undang antarabangsa dikuatkuasakan secara terpilih. Sebaliknya, inilah suara negara-negara Selatan Global yang bangkit dengan pendirian sendiri, menegaskan bahawa peraturan mesti terpakai kepada semua pihak atau tidak terpakai kepada sesiapa pun.
Namun, kita tahu bahawa Negara-negara Selatan Global sebenarnya mampu melakukan lebih daripada itu.
Bagi Israel pula, entiti penjajah itu sedang menuju kehancuran. Bukan semestinya kerana ada pihak yang akan menjatuhkannya melalui kekerasan, tetapi kerana Israel telah menanam benih genosid, diskriminasi kaum dan ketidakadilan di sekelilingnya.
Apa yang ditanam oleh penindas, itulah yang akan dituainya.
Ketika saya masih kecil, ayah saya sering menyampaikan satu peribahasa yang sering diungkapkan oleh orang-orang terdahulu:
“Rumah orang yang zalim akhirnya akan musnah.”
Itulah yang sedang berlaku kepada Israel hari ini.
Kuasa-kuasa Atlantik sanggup menggadaikan peraturan demi seorang pemain bola sepak. Mereka juga sanggup menghancurkan undang-undang antarabangsa demi melindungi sekutu mereka.
Namun, Gaza telah membuktikan sesuatu yang jauh lebih berkekalan: sebuah bangsa yang enggan lenyap, yang mengebumikan jenazah mereka dan terus melangkah ke hadapan, mampu mengubah perjalanan sejarah.
Selepas tiga tahun, perjuangan ini masih berterusan; bukan kerana kemenangan sudah hampir dicapai, tetapi kerana pilihan selain meneruskan perjuangan tidak dapat diterima.
Perjalanan daripada kekuatan ketenteraan kepada kewibawaan moral dibina di atas penderitaan yang amat dahsyat.
Namun, kewibawaan moral merupakan perkara terakhir yang akan hilang daripada sesebuah bangsa, dan perkara pertama yang akan dilepaskan oleh sesebuah empayar apabila kelangsungan hidupnya hanya bergantung pada kekerasan.
Ada satu perkara terakhir yang wajar kita ingati.
Selepas segala peraturan FIFA digadaikan, selepas panggilan telefon, tekanan politik dan perubahan buku peraturan dilakukan, Amerika Syarikat tetap tewas kepada Belgium dalam perlawanan tersebut.
Bantuan istimewa itu tidak menjamin kemenangan.
Perkara yang sama sedang berlaku di Palestin, tetapi pada skala yang jauh lebih besar dan berdarah.
Netanyahu dan kerajaannya telah mendapat segala bentuk kelonggaran dalam undang-undang antarabangsa, setiap perlindungan diplomatik diberikan kepada mereka, setiap penghantaran senjata diluluskan, malah pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sendiri diancam dan dikenakan sekatan demi melindungi mereka.
Namun, selepas tiga tahun kemusnahan, kemenangan mutlak masih jauh daripada tercapai.
Sumud rakyat Palestin, iaitu keteguhan yang degil, luar biasa dan mengagumkan serta keengganan untuk tunduk telah menafikan pihak penjajah daripada memperoleh satu perkara yang tidak mampu diciptanya sendiri: pengakhiran yang ditentukan mengikut kehendaknya.
Dr. Muslim Imran
Pengarah Asia Middle East Center (AMEC)
*Artikel asal diterbitkan di The Palestinian Information Center dalam Bahasa Inggeris dan diterjemahkan oleh Dunia Palestin.